Ahli akademik ada asas bimbang isu integrasi nasional

Dr Zulkeflee Yaacob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kebimbangan bekas Menteri Undang-Undang, Dato’ Zaid Ibrahim kaum Cina tidak boleh dikritik terbukti apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mahu polis menyiasat rakaman video TikTok Prof Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong.

- Advertisement -

Malah, pemimpin DAP terbabit dilapor mahu Dr Teo didakwa di bawah Akta Hasutan kerana cubaan melaga-lagakan perhubungan antara kaum Cina dan Melayu.

Penasihat Jawatankuasa Keluarga, Wanita dan Kebajikan Kelantan, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, kenyataan ahli akademik terbabit ada asas di mana 95 peratus anak-anak Cina dihantar ke sekolah vernakular Cina dan tidak berintegrasi dengan orang Melayu.

Katanya, Dr Teo menyatakan pendapatnya berdasar disiplin bidang dan membuat diagnosis tentang isu integrasi nasional dengan jujur di lapangan.

“Ilmuan melihat masa depan negara pelbagai kaum yang teras Melayu atas prinsip Rukun Negara, sejarah dan asal usul kaum.

“Malah dalam perlembagaan negara tiada nama kaum selain Melayu dan pribumi dicatat dengan nyata di bawah Fasal 3 tentang Islam, Fasal 152 tentang bahasa Melayu, Fasal 160 tentang hak dan takrifan Melayu,” katanya di sini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Seputeh dilapor menggesa polis menyiasat Dr Teo berhubung rakaman video di TikTok yang mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu.

Sebelum itu, melalui video TikTok Dr Teo mendakwa sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan negara.

Pensyarah terbabit mendakwa 95 peratus anak-anak Cina dihantar ke sekolah vernakular Cina dan enggan berintegrasi dengan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini.

Dr Zulkeflee yang juga pensyarah institusi pengajian tinggi berkata, masyarakat Cina Peranakan turut menerima tempias diskriminasi daripada majoriti kaum Cina.

“Penguasa bertukar ganti setiap lima tahun tetapi keharmonian kaum bukan isu politik tetapi tadbir urus telus berkompas Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu kebebasan bersuara dijamin dalam perlembagaan dan penguasa yang tidak telus dan integriti akan hilang kompas negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -