Tujuh hari, cuaca panas lebih 35 darjah Celcius

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celcius di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh tujuh hari ke hadapan.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga pagi.

- Advertisement -

Menurut beliau, ramalan berkenaan adalah berdasarkan analisis model cuaca dengan penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak hingga 15 Mac ini.

Sementara itu, dalam hantaran kenyataan yang berasingan, amaran ribut petir dikeluarkan apabila menunjukkan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Sarawak iaitu di Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu (Kanowit) sehingga 6 petang ini,” katanya.

Justeru, jabatan itu menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih. – HARAKAHDAILY12/3/2024

- Advertisement -