Selesaikan isu sekolah ‘tak selamat’ di seluruh negara

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan digesa menyelesaikan masalah isu sekolah daif yang mengalami banyak kerosakan termasuk ada yang reput dan tidak berganti, dan dikategorikan sebagai ‘tidak selamat’, di seluruh negara pada ketika ini.

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, sempena minggu pembukaan sekolah yang bermula semalam (11 Mac), beliau berasa terpanggil untuk menyebut berkenaan isu berkenaan. 

- Advertisement -

“Kekhuatiran saya ini berasaskan dengan jawapan Timbalan Menteri Pendidikan pada hari ini, Selasa (12 Mac) yang memaklumkan sejumlah 375 daripada 1,069 projek sekolah daif di seluruh negara sejak 2016 masih belum siap dibaiki.

“Dewan Rakyat juga dimaklumkan bahawa daripada 1,069 projek sekolah daif itu 216 daripadanya adalah di peringkat pra-pembinaan. 

“Saya dimaklumkan bahawa masih banyak sekolah di seluruh negara dikenal pasti mempunyai blok bangunan daif yang dikategorikan sebagai bangunan berskala enam dan tujuh iaitu ditakrifkan tidak selamat serta memerlukan penggantian atau pembangunan semula,” katanya dalam satu kenyataan, pada hari ini.

Menurut beliau, skala enam merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), manakala skala tujuh merujuk kepada bangunan tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kebanyakan sekolah-sekolah ini adalah sekolah lama yang dibina sejak negara kita mencapai kemerdekaan lagi. 

“Keadaan sekolah-sekolah ini sangat tidak memuaskan, daif, mengalami banyak kerosakan termasuk ada yang reput dan tidak berganti. 

“Pada hemat saya, perancangan jangka panjang dan komitmen kerajaan perlu dalam menyelesaikan isu sekolah daif di seluruh negara ketika ini,” tegasnya.

Secara teknikalnya, ujar Muhammad Ismi, Kementerian Pendidikan perlu mempunyai perancangan lima tahun secara komprehensif dalam usaha menyelesaikan isu sekolah daif.

Beliau menyatakan bahawa perancangan lima tahun tersebut  perlu meliputi keutamaan sekolah mana yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu termasuklah tahap kedaifan sekolah tersebut dan sejauh mana ia telah mengganggu proses pembelajaran para pelajar di sekolah tersebut. 

Tambah beliau, peruntukan kewangan bagi perancangan membaiki sekolah-sekolah daif ini haruslah diletakkan dalam satu dana khas yang mempunyai tujuan yang sama sahaja. 

“Kebimbangan saya adalah kewujudan sekolah-sekolah yang masih daif fizikalnya akan menyebabkan para pelajar tidak selesa dalam menimba ilmu dan seterusnya menggugat masa depan mereka,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, kebanyakan sekolah daif adalah yang terletak dalam kawasan pedalaman dan secara tidak langsung menyebabkan wujudnya isu antara dua darjat berlegar-legar dalam sistem pendidikan negara memandangkan banyak sekolah yang terletak di kawasan bandar masih mempunyai keadaan fizikal yang baik.

“Justeru, saya selaku wakil kepada rakyat di Dewan Rakyat berjanji akan membangkitkan isu ini berulang kali tanpa letih bagi memastikan premis atau tempat pembelajaran anak bangsa di seluruh negara adalah selamat dan selesa untuk diduduki,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

- Advertisement -