Libatkan syarikat Bumiputera dalam kluster E&E

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberikan peluang penyertaan kepada syarikat tempatan Bumiputera dalam pengkhususan beberapa bidang utama, demikian gesa Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut).

Ketua Pembangkang itu berkata, sebagai contohnya penyertaan dalam kluster industri produk elektrik dan elektronik (E&E) berikutan jurang ekonomi dalam sektor tertentu juga agak besar.

“Sebab banyak lagi ruang yang boleh diketengahkan dan diberikan peluang-peluang yang lebih besar supaya dapat meningkatkan penyertaan Bumiputera contohnya dalam jawatan berkemahiran tinggi seperti pengurusan, jurutera dan lain-lain lagi,” kata beliau.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Ekonomi pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli dalam jawapannya memberitahu, kerajaan bersetuju meningkatkan penyertaan terutamanya golongan kelas profesional Melayu.

“Ini yang saya ingat tanggungjawab dan cabaran kita bersama iaitu seperti yang saya jelaskan semasa KEB 2024 yang lepas. Apabila kita melihat pencapaian-pencapaian agenda pemerkasaan Bumiputera sejak 1950-an sebenarnya kita mencapai beberapa pencapaian yang baik

“Walaupun yang selalu ditumpukan itu hanyalah soal pemilikan ekuiti. Tapi yang paling berjaya ialah membentuk satu kelas ekonomi menengah yang tinggi.

“Dan apabila kita melihat kepada ekonomi negara, banyak peranan di peringkat pengurusan dan profesional sebenarnya adalah daripada profesional Bumiputera di syarikat-syarikat besar,” jelas Rafizi.

Menurutnya, untuk menjawab soalan Hamzah, ia menjadi cabaran kepada kerajaan terutamanya bagi mengalihkan bukan sahaja penyertaan tetapi bentuk penyertaan Bumiputera terutamanya kelas menengah dalam bidang-bidang baru ini.

“Saya selalu ulang bahawa kita perlu menggalakkan pertukaran model kejayaan Bumiputera sendiri kerana daripada tahun 70-an, 80-an, model kejayaan itu ialah macam Larut sendiri, pergi sekolah, berasrama penuh, universiti.

“Kemudian kita selalunya mahu bekerja di syarikat yang memberikan gaji. Boleh jadi CEO, gaji banyak, tetapi itu hanya menambah nilai, dia tidak membentuk nilai kerana ia tidak diusahakan sendiri oleh kelas menengah Bumiputera berbanding dengan kelas menengah bukan-Bumiputera.

“Yang selalunya jauh lebih cepat dari segi membentuk perusahaan sendiri yang menyebabkan mereka terpaksa mencipta teknologi sendiri, mencipta produk sendiri dan mencari modal sendiri,” ujar beliau.

Jadi itu tambah beliau adalah satu perkara struktur yang kerajaan perlu perbaiki selaras juga dengan usaha untuk memastikan apabila rangka jangka panjang ekonomi negara ini beralih kepada sektor-sektor berteknologi tinggi.

“Contoh yang Larut sebut iaitu advance E&E dan saya dah menghabiskan satu tahun ini duduk dengan industri E&E.

“Kalau dulu Larut kita bercakap tentang macam mana kita nak masuk dalam rantaian nilai E&E di Malaysia yang pada ketika itu masih lagi berada di sebelah back end maksudnya packaging perkara-perkara yang nilai dia rendah.

“Yang itu sebagai sebuah negara itu pun kita dah kena beralih daripada itu kerana kita tidak lagi boleh menjadi satu kuasa cip dan E&E tetapi terhad kepada aktiviti yang nilainya pertengahan atau rendah iaitu back end mesti naik kepada nilai yang lebih iaitu design sendiri mereka cipta.

“Dan yang ini yang akan memerlukan kerjasama sebenarnya pada pandangan saya di antara semua yang ada di negara kita baik Bumiputera, bukan-Bumiputera dan juga M&C dan pelabur asing,” ujar beliau.

Menurutnya kerana rantaian nilai apabila naik ke rantaian nilai tinggi iaitu mereka cipta cip keluaran sendiri, tidak lagi boleh dibuat di dalam negara semata-mata.

“Contohnya, kalau satu cip itu boleh direka cipta pun dengan IP nya itu, daripada negara kita sendiri tetapi untuk mendapat satu prototaip cip itu perlulah mendapat persetujuan atau lesen daripada beberapa pembuat wafer chips sahaja yang ada di di dunia ini yang tak banyak.

“Jadi, pembuat wafer chip ni tak ada di Malaysia. Dia ada di Taiwan, dia ada di Jepun, di Korea dan sebagainya. Jadi model yang kita ada sebab itu kita memerlukan smart partnership, perkongsian bijak daripada semua pihak.

“Terutamanya daripada golongan profesional class yang jurutera, elektronik dan sebagainya, yang Melayu, Bumiputera dan bukan-Bumiputera daripada syarikat-syarikat besar untuk mengambil risiko dan keluar dan membentuk syarikat sendiri.

“Dan program ataupun bantuan apabila Larut sebut pengkhususan itu, ia mestilah tertumpu kepada kumpulan ini bukannya semata-mata untuk kita memberikan insentif tetapi tidak ada sambutan daripada kelas menengah Bumiputera yang ada dalam syarikat M&C,” kata Rafizi.

Hamzah dalam soalan asalnya meminta dinyatakan kaedah serta pendekatan baharu yang menepati ciri status pembangunan dan sosioekonomi tempatan bagi meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera khususnya dalam segmen ekonomi baharu. – HARAKAHDAILY 11/3/2024

- Advertisement -