KETAHUILAH bahawa di hadapan kita akan tiba bulan kebaikan, iaitu Ramadan. Kedatangan Ramadan merupakan khabar yang menggembirakan bagi umat Islam.
Ramadan merupakan bulan mulia, yang sememangnya dinanti-nantikan kedatangannya oleh orang beriman kerana ia merupakan bulan pengampunan serta dilipatgandakan pahala amal soleh.
Nabi Muhammad SAW mengkhabarkan kedatangan Ramadan kepada para sahabatnya melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA yang berkata, Rasulullah SAW memberikan khabar gembira kepada sahabatnya dengan bersabda yang bermaksud:
“Telah datang kepada kalian Ramadan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan atas kalian berpuasa padanya. Pintu-pintu syurga dibuka padanya. Pintu-pintu Jahim (neraka) ditutup. Syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat sebuah malam yang lebih baik dibandingkan dengan seribu bulan. Siapa yang dihalang dari kebaikannya, maka sungguh dia akan terhalang dari kebaikan.” (HR Ahmad)
Pembahagian Ramadan
Ramadan dibahagikan kepada tiga bahagian dan ketiga-tiga bahagian ini perlu dilakukan oleh setiap kita agar dapat meraih pengampunan daripada Allah SWT atas dosa-dosa kita yang lalu.
Berpuasa pada siang hari Ramadan
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barang siapa berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR al-Bukhari No 38 dan Muslim No 760).
Mendirikan Ramadan (Solat Tarawih)
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barang siapa mendirikan Ramadan kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR Al-Bukhari No 37 dan Muslim No 759).
Yang dimaksudkan dengan mendirikan (qiyam) Ramadan ialah solat Tarawih sebagaimana yang disebutkan oleh Imam An Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim (3/101).
Mendirikan Lailatul Qadar
Daripada Abu Hurairah RA juga, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barang siapa berdiri (solat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR al-Bukhari 1901 dan Muslim di bawah hadis 760).
Semua hadis di atas mempunyai maksud yang sama, iaitu akan diampuni dosa-dosa yang lalu tetapi dengan syarat perlu mengerjakan ketiga-tiga amalan sepanjang Ramadan, iaitu berpuasa pada siang hari, bersolat Tarawih pada malam hari dan mencari Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir padai bulan Ramadan dengan penuh rasa keimanan serta ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dengan mengharapkan pahala di sisi-Nya.
Jika ketiga-tiga bahagian ini disempurnakan, maka berhasillah Ramadan kita, yakni beroleh pengampunan dengan syarat ia dikerjakan dengan keimanan dan mengharapkan pahala di sisi Allah SWT.
Di samping kita bersemangat beramal soleh di bulan Ramadan, namun kita ditegah untuk melakukan perkara dosa dan sia-sia. Ini akan mengurangi bahkan dikhuatiri akan terhapus seluruh pahala kita.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوعُ. وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلاَّ السَّهَرُ
“Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam.” (HR Ibnu Majah no. 1690).
Semoga Ramadan kali ini, kita dapat menjalani ibadah puasa dengan bersungguh-sungguh dan bersolat Tarawih secara istiqamah serta melanjutkan dengan menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan agar memperoleh rezeki Lailatul Qadar di sisi Allah SWT.
Selamat menyambut Ramadan yang mulia. – HARAKAHDAILY 11/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!