Dakwaan bocor maklumat mesyuarat kerajaan tak masuk akal

Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dakwaan kononnya Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, suka membocorkan maklumat mesyuarat kerajaan hanyalah alasan ‘mengada-ngada’ dan tidak masuk akal.

Beliau berkata demikian, sambil menegaskan, Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kemungkinan tidak faham serta tiada gambaran sebenar mengenai apakah yang dibincangkan dalam mesyuarat majlis Tindakan Pembangunan Negeri, susulan mesyuarat majlis berkenaan tidak diadakan sejak November 2022  lalu.  

- Advertisement -

“Apa alasan dia? Sanusi suka bocor rahsia mesyuarat (rahsia kerajaan) dan mendedahkannya di pentas politik. Sedangkan sudah lama ceramah di cawangan-cawangan PAS di Kedah tidak diadakan.

“Kebimbangan tentang kebocoran maklumat rahsia kerajaan hanyalah alasan ‘mengada-ngada’ kerana semua maklumat kerajaan akan sampai ke pengetahun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar bila tiba masanya. 

“Malah setakat empat tahun ini juga belum ada kejadian bocor maklumat mesyuarat atau rahsia kerajaan,” ujarnya dalam kenyataan, di sini, hari ini. 

Menurut Sanusi, Menteri Dalam Negeri itu (Saifuddin) mungkin terlupa bahawa beliau pernah disaman kerana sikap ‘gedik berlebihan’ bermain politik keterlaluan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. 

Tambah beliau, Saifuddin pada ketika itu telah mengekploitasi maklumat kerajaan dan menggunakan kuasa agensi persekutuan untuk memburukkan Kedah, khususnya mencipta pelbagai isu menekan dan merosakkan reputasi Menteri Besar, Exco dan pegawai kerajaan negeri dalam ceramah-ceramah politik beliau sejak dilantik sebagai menteri. 

“Jangan-jangan beliau (Saifuddin) sebetulnya malu nak bermesyuarat bersama? Saya telah hadir bermesyuarat dengan Perdana Menteri berulang kali tanpa sebarang masalah kerana kita sentiasa bersedia. 

“Mesyuarat ini penting sebagai punca kuasa sesuatu arahan segera dikeluarkan kepada agensi dan jabatan untuk mempercepat dan melicinkan proses pelaksanaan sesuatu projek,” kata beliau lagi. 

Terdahulu, Saifuddin, semalam mendakwa, sikap yang ditunjukkan oleh Sanusi menjadi punca mengapa mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah tidak diadakan agak lama. 

“Menteri Besar Kedah itu  merupakan seorang pemimpin yang tidak menjaga rahsia mesyuarat dan maklumat diperolehi  akan dijadikan sebagai modal berceramah di pentas politik,” dakwa Saifuddin.

Dalam pada itu, Sanusi berkata lagi, sebelum beliau (Saifuddin) dilantik sebagai Pengerusi Bersama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, jawatan itu dipikul oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilantik pada Mac 2020, yang mana beliau telah menyusun dan memanggil mesyuarat berjadual tiga hingga empat kali setahun.

“Sejak Mei 2020 hingga Oktober 2022, saya telah hadir bermesyuarat sebagai Pengerusi Bersama dengan semua pengarah agensi negeri dan persekutuan beberapa kali (sekurang-kurangnya empat kali). Tidak ada sebarang kebocoran maklumat sepanjang tempoh itu,” bidasnya. 

Menurut Sanusi, majlis ini melibatkan semua agensi negeri dan persekutuan,  bertujuan memantau isu-isu berbangkit dan memutuskan langkah segera yang perlu diambil oleh pihak-pihak terbabit berasaskan bidang kuasa masing-masing serta menyelesaikan masalah berbangkit daripada  projek-projek kerajaan persekutuan di setiap negeri. 

“Hal ini penting berdasarkan bidang kuasa kerajaan negeri dan persekutuan berasaskan  Senarai Persekutuan, Senarai Bersama dan Senarai Negeri yang diperuntukkan dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. 

“Termasuk juga Isu terpenting dalam sebarang projek kerajaan iaitu  isu-isu tanah, pewartaan pengambilan balik tanah, pampasan, penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) dan seumpamanya. 

“Juga isu-isu teknikal projek. prosedur, rekabentuk, kapasiti, proses tender, peruntukan dan pelantikan kontraktor lazimnya di bawah bidang persekutuan,” tambahnya.

Namun, Sanusi mengakui  ‘rahsia kerajaan’ paling besar yang didedahnya ketika ucapan penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 7 Mac lalu iaitu kegagalan kegagalan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri mengadakannya mesyuarat sejak November 2022.

“Itulah ‘rahsia kerajaan’ paling besar saya dedahkan, selain memaklumkan bahawa  tiada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri sejak November dua tahun lalu, saya juga ada memohon Perdana Menteri menukar menteri lain sebagai Pengerusi Bersama dalam satu mesyuarat di Putrajaya beberapa bulan dulu,” katanya. –  HARAKAHDAILY 11/3/2024

- Advertisement -