Promosi Tahun Melawat Melaka 2024 lemah

Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

MELAKA: Orang ramai terutama mereka yang berada di luar Melaka dilihat masih tidak menyedari tentang kempen Tahun Melawat Melaka 2024 yang sedang berlangsung pada masa ini.

Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) berkata, perkara itu berlaku disebabkan promosi terhadap kempen itu yang dilihat lemah dan kurang menonjol.

- Advertisement -

“Sudah hampir suku pertama tahun 2024 masih ramai lagi rakyat Malaysia di luar sana masih belum sedar tentang penganjuran Tahun Melawat Melaka pada tahun ini. 

“Tinjauan saya ke lapangan, pelancong yang hadir semata-mata bercuti tanpa tahu adanya Tahun Melawat Melaka. Malah, mereka tidak pun tahu apa program yang akan dianjurkan sepanjang tahun ini,” katanya.

Tambah Dr Yadzil, tinjauan peribadi beliau terhadap bekas rakan-rakan sekolah, universiti dan ahli keluarga jauh juga mendapati mereka tidak tahu berkaitan tentang Tahun Melawat Melaka 2024.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan usul pada Persidangan Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang ke-15 hari ini.

“Dunia digital sekarang semuanya di hujung jari. Hampir semua info mudah diakses secara online. Di sini juga, jarang saya lihat muncul iklan-iklan Tahun Melawat Melaka 2024. 

“Di skrin televisyen juga amat jarang iklan Tahun Melawat Melaka 2024 muncul terutama pada waktu puncak. Rakyat juga tertanya-tanya berapa belanja yang dikeluarkan untuk masing-masing acara besar untuk Tahun Melawat Melaka kali ini,” jelasnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pembangkang DUN Melaka itu berharap agar maklumat yang beliau suarakan itu dijadikan sebagai maklumbalas kepada kerajaan Negeri Melaka untuk meningkatkan lagi usaha kempen Tahun Melawat Melaka 2024. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -