Portal e-pelaburan bantu pelabur ke Kelantan

Md Anizam Ab Rahman
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan telah menyediakan dokumen kit pelaburan yang mengandungi beberapa maklumat asas berkaitan dasar dan prospek pelaburan di Kelantan dalam tempoh sepanjang tahun 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia Perdagangan dan Keusahawanan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, kit pelaburan itu bagi membolehkan pelabur mendapat maklumat  lebih jelas mengenai dasar dan prospek pelaburan.

- Advertisement -

Katanya, portal e-pelaburan disediakan sebagai kemudahan bagi pelabur untuk membuat permohonan melabur di Kelantan.

“Kerajaan negeri juga memfokuskan Tunjong di Kota Bharu dan Tok Bali di Pasir Puteh dalam bidang pelaburan dan pembangunan ekonomi negeri.

“Tunjong dan Tok Bali berpotensi menjadi kawasan pelaburan dan pembangunan ekonomi dengan adanya stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kedua-dua kawasan tersebut,” katanya menjawab soalan Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil (PAS-Kuala Balah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini. 

Md Anizam juga berkata, pembangunan di kedua-dua kawasan tersebut dijangka memberi impak yang besar kepada ekonomi di Kelantan.

Menurutnya juga pada tahun 2023 kerajaan negeri melancar Rancangan Kawasan Khas Tunjong 2020-2035  bagi memastikan pembangunan Tunjong dilaksanakan secara sistematik dan terancang. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -