Lojing, pengeluar tomato kedua tertinggi di Malaysia

Tuan Mohd Saripudin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Tanah Tinggi Lojing muncul sebagai pengeluar kedua tertinggi di Malaysia bagi tanaman tomoto dengan pengeluaran sebanyak 70,706 metrik tan (mt) dan kacang buncis 1,714 mt di negara ini.

Selain itu, ia juga merupakan pengeluar ketiga tertinggi bagi tanaman kobis bulat (536 mt) di Malaysia.

- Advertisement -

Data itu berdasar ‘booklet’ statistik tanaman (sub-sektor tanaman makanan) 2023 yang dikeluarkan Jabatan Pertanian Kelantan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pengeluaran hasil pertanian di lojing pada tahun lepas, mencecah lebih 79,885.39 mt.

Katanya, pengeluaran tersebut meliputi buah-buahan 2,046.98 mt, sayur (77,317.41 mt) dan tanaman ladang (521 mt).

“Kawasan pertanian tanah tinggi tersebut diusahakan 91 syarikat tempatan dan dari luar Kelantan.

“Syarikat yang paling luas mengusahakan tanaman durian iaitu jenis premium di kawasan seluas lebih 2,000 hektar,” jelasnya.

“Tanah Tinggi Lojing merupakan kawasan pengeluaran sayur-sayuran yang menyumbang pengeluaran hasil pertanian tanah tinggi serta mencapai pengeluaran yang banyak setiap tahun,” katanya ketika menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, pada  hari ini. 

Menurutnya juga, pembangunan pertanian di Lojing akan dikawal di bawah Enakmen Pemajuan Pertanian Negeri Kelantan 2022.

Tambah beliau, enakmen itu akan dilaksanakan dengan menetapkan syarat pengusaha pertanian hendaklah menyediakan laporan penilaian tanah.

“Selain itu, mereka perlu membuat permohonan permit pemindahan hasil pertanian,” ujarnya.

Melalui pelaksanaan enakmen itu, ujar Tuan Mohd Saripudin, keperluan dan penetapan peraturan yang ditetapkan seperti Penyediaan Laporan Penilaian Kesesuaian Tanah (LPKT) dan Permohonan Permit Pemindahan Hasil Pertanian yang terkandung dalam enakmen.

“Ia dijangka akan dapat memberi hasil melalui Pertanian kepada Kerajaan Negeri di Tanah Tinggi Lojing ini.

“Langkah itu bertujuan pembangunan pertanian di Tanah Tinggi Lojing lebih terkawal, tersusun dan lestari serta dapat memberi (pulangan) hasil kepada kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -