DUN Kelantan lulus usul perkasa Enakmen Jenayah Syariah

Wan Rohimi Wan Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini melulus kan usul persendirian bagi menyatakan kekesalan dan dukacita di atas pembatalan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019.

Usul tersebut yang dibawa Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor) itu mendapat sokongan kesemua ahli Dewan selepas dibahas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

- Advertisement -

“Saya buka usul untuk disokong dan dipersetujukan. Maka dengan ini usul tersebut diluluskan,” kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Amar Abdullah.  

Sebelum itu, Wan Rohimi yang juga seorang peguam berkata, usaha perlu dilakukan bagi memperkasakan semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Menurut beliau, 16 seksyen di bawah enakmen berkenaan perlu digubal dan diperkenalkan semula.

“Kerajaan negeri perlu memikirkan kaedah untuk memperkasakan semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya ketika membentang usul tersebut.

Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) ketika menyokong usul tersebut berkata, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 digubal menglibatkan pakar-pakar dalam bidang perundangan, ulama dan panduan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri.

Beliau menegaskan, enakmen itu melalui proses yang begitu teliti dengan bersumber utama al-Quran, hadis dan pandangan ulama.

“Apa masalah sehingga enakmen itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan sehingga akhirnya ia dibatalkan. 

“Jadi, peranan kita sebagai ahli legislatif untuk memperkenalkan semula enakmen tersebut,” katanya.

Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) pula menyifatkan perundangan Islam menjadi benteng kekuatan umat Islam, namun ia dicemburui oleh musuh.

“Benteng tersebut yang ternyata menjadi kekuatan umat Islam yang cuba dihapuskan pihak tertentu bagi merelaikan akidah umat Islam,” tegas beliau.

Sementara itu ketika menggulung usul tersebut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha untuk memperkasakan semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 selaras dengan titah Sultan Kelantan.

Katanya, usaha itu selaras ketinggian Islam dan titah Sultan Kelantan ketika merasmikan persidangan DUN Isnin lepas.

“Titah tersebut menjadi panduan kerajaan negeri dan inspirasi kepada seluruh rakyat.

“Sukar untuk menerima hakikat 16 perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 yang diluluskan sebulat suara termasuk pembangkang terbatal kerana ada cabaran individu yang beragama Islam.

“Sedangkan individu terbabit tidak pernah terkesan dengan perundangan tersebut (tiada locus standi),” ujarnya.

Menurut beliau, enakmen terbabit dilulus pada 1985 dan dipinda pada 2019. 

Beliau menyatakan, ia berjalan lancar selari dengan Mahkamah Sivil tanpa ada pihak yang mencabar. 

“Pembatalan 16 seksyen enakmen tersebut di Kelantan turut memberi kesan kepada enam lagi negeri yang mempunyai seksyen hampir sama.

“16 seksyen terbabit juga ada persamaan dengan Akta di Wilayah Persekutuan yang diluluskan di Parlimen,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -