Dr Azman beri komitmen selesai isu lesen nelayan Kijal

Dr Azman Ibrahim menjawab pertanyaan penduduk pada majlis dialog di Kijal.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim memberi komitmen untuk menyelesaikan isu nelayan yang tidak mempunyai lessen di Kijal.

- Advertisement -

Menurutnya, semasa kerajaan negeri membuat gerakan besar-besaran untuk menyelesaikan isu lesen sampan nelayan pada 2019, ramai nelayan di Kijal tidak membuat permohonan.

Ini, jelasnya menyebabkan apabila nelayan lain mendapat lesen, mereka yang tercicir.

Baginya, apa pun alasan mereka tidak memohon lessen adalah perkara yang telah lepas.

“Kita pandang hari depan yang masih jauh.

“Untuk nelayan Kijal, ambe bagi komitmen untuk bantu selesaikan isu nelayan yang masih tak berlesen,” ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman sosial beliau susulan lawatan ke Kijal, semalam. Majlis turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Razali Idris.

Menurut ADUN Jabi itu, Kijal sekarang tidak seperti dahulu kerana masyarakat menyambut kehadirannya dengan senyum mesra.

“Boleh bincang cara anak-beranak macam-macam perkara. Terima kasih adik kakak pekebun durian dan nelayan pantai Kijal,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh berhubung durian Kijal yang dahulunya tersohor tetapi kini kebun banyak yang terbiar.

Baginya, kemungkinan pemilik kebun mempraktis kaedah 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai.

Ini, ujarnya menyebabkan kebun penuh dengan semak samun tanpa baja dan air.

“Maka natijahnya pokok durian mogok tak nak berbuah,” katanya.

Justeru, beliau berkata menerusi majlis dialog yang diadakan itu disepakati bahawa kegemilangan durian Kijal mesti dikembalikan.

Tambahnnya, antara langkah yang perlu diambil ialah kebun mesti dibersihkan dan pH tanah mesti diperbetulkan.

“Pokok mesti diberi makan namanya baja dan air serta infra ladang terutama jalan mesti dinaik taraf,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -