KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengenal pasti sektor yang perlu menjadi keutamaan termasuk di pihak institusi swasta dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan inovasi dan penyelidikan.
Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berkata, perkara ini dapat memastikan institusi tersebut dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara selain menambah kuantiti dan kualiti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Apakah bentuk insentif untuk menyokong para penyelidik tempatan dalam transisi pembinaan ilmu dari peringkat universiti ke industri,” tanya beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, tadi.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, kementeriannya akan menumpukan beberapa dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan.
“Kita akan menumpukan data penyelidikan untuk menyokong kerangka dasar supaya dapat mengangkat negara ini menjadi negara industri, maju dan memberi ruang dan peluang kepada generasi muda untuk mendapatkan pekerjaan.
“Kementerian juga mahu penyelidik di institusi pengajian tinggi (IPT) akan lebih aktif selepas ini, begitu juga Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kerana saya agak risau dengan data keterlibatan daripada IPTS untuk geran-geran penyelidikan yang ditawarkan kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024