Liga Bola Sepak KB City 2024, wadah jalinan ukhuwah

Saingan Liga Bola Sepak KB City 2024 bagi merebut Piala Regles bermula pada Jumaat, 8 Mac 2024.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Bandar Kota Berkat (KB CITY FC) akan menganjurkan Liga Bola Sepak KB City 2024 bagi merebut Piala Regles bermula Jumaat (8 Mac) ini.

Presidennya, Mohd Zuki Deraman berkata, liga yang julung-julung kali dianjurkan itu adalah sebagai wadah jalinan ukhuwah persahabatan demi ikatan perpaduan sesama komuniti kelab bola sepak di sekitar Kota Bharu.

- Advertisement -

Menurutnya, liga yang dijadualkan bermula pada 8 Mac ini akan disertai lapan pasukan di sekitar Kota Bharu, yang termasuklah Media Kelate FC, KB City FC, Regles FC, JPPF FC, Senok FC, Broka FC, PACSU FC dan Ku_Nyit FC. 

“Fokus utama liga ini dianjurkan adalah untuk merapatkan jalinan persahabatan dalam kalangan komuniti bola sepak terlibat.

“Selain itu, liga ini juga akan dijadikan satu platform terbaik untuk pengurusan pasukan bola sepak mempelajari dan merasai pengalaman ilmu pengurusan bola sepak yang lebih sistematik dan profesional,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat kejohanan liga kepada pengurus dan ketua jurulatih di sini.

Turut hadir, penaja utama kejohanan pemilik jersi Regles, Mohd. Syamim  Dazizi.

Menurutnya lagi, pihaknya turut merancang untuk menganjurkan beberapa lagi program lain sebagai satu kesinambungan kepada Liga Bola Sepak KB City 2024. 

“Program pembangunan bola sepak akar umbi iaitu Klinik Bola Sepak  peringkat umur bawah 12 tahun dan mengadakan Liga Bola Sepak Pembangunan Bawah 15 Tahun dalam tempoh kejohanan liga tersebut berlangsung,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -