Kerajaan hadapi masalah kewangan, penjawat awam ‘dikorbankan’

Wan Razali Wan Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anggota perkhidmatan awam adalah nadi penggerak kepada kerajaan yang banyak berkorban dalam melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

- Advertisement -

Anggota beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Bomba dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam menjadi benteng dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.

Kakitangan kesihatan pula menjadi benteng di kala negara diuji dengan pelbagai wabak sementara warga pendidik, guru-guru dan pensyarah sentiasa tekun membimbing anak bangsa untuk melahirkan generasi pelapis kepimpinan negara.

Malangnya, menurut Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan), apabila kerajaan menghadapi masalah kewangan, mereka pula yang terpaksa ‘dikorbankan’ dengan tiada lagi kemudahan pencen.

“Apabila kerajaan mengalami masalah kewangan, timbul cadangan untuk memansuhkan skim pencen penjawat awam bagi yang baru dilantik, seolah-olah kakitangan awam ini menjadi beban kepada kerajaan,” ujarnya ketika berucap pada sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, keputusan pihak kerajaan Madani untuk memansuhkan skim pencen kepada penjawat awam lantikan baharu dilihat tidak cermat dan terburu-buru tanpa memberikan cadangan alternatif kepada perubahan skim tersebut.

Kata Razali, sepatutnya perkara itu perlu dibincang dan dibahas di Parlimen agar semua rakyat Malaysia boleh memberi pandangan masing-masing.

“Kita juga mendengar saban hari tentang cerita kejayaan pihak kerajaan menarik pelaburan ke negara kita dengan jumlah yang berbilion-bilion ringgit.

Adakah hasil pelaburan itu tiada bahagian untuk digunakan sebagai perbelanjaan kerajaan bagi mengekalkan skim persaraan sedia ada?

“Adakah formula yang ada hanya dengan mengurangkan kos operasi dengan memansuhkan skim pencen kakitangan sahaja?” soalnya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -