Kenaikan SST jejas usahawan luar bandar

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan strategi bagi memastikan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak memberi kesan kepada usahawan terutama di luar bandar.

- Advertisement -

Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, kenaikan SST kepada lapan peratus sedikit sebanyak menjejaskan usahawan antaranya adalah perkhidmatan penghantaran dan pembelian atas talian.

“Cabaran usahawan luar bandar untuk mengembangkan produk mereka adalah jaringan pemasaran yang lemah,” katanya.

Beliau juga turut meminta kementerian menyatakan jumlah bantuan sokongan pengukuhan keusahawanan luar bandar (SPKLB) dan peniaga di kawasan Kuala Krai.

“Apakah perincian mekanisme pemantauan dan pelaporan yang dijalankan bagi program SPKLB, sehubungan dengan 4 juta telah diperuntukkan kepada usahawan luar bandar bagi memastikan keberkesanan program berkenaan,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata kementeriannya tidak mempunyai program khas untuk memberi sokongan berkenaan dengan cukai.

“Apa yang penting, kementerian memberi sokongan dan bantuan dari sudut geran khidmat nasihat untuk usahawan luar bandar,” katanya.

Tambah beliau, kementeriannya juga akan memberikan jawapan secara bertulis berkenaan statistik usahawan yang mendapat bantuan SPKLB di Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -