Laluan basikal RM4.2 juta di Terengganu dibuka kepada umum

Laluan basikal dua hala dari Teluk Ketapang ke Kuala Ibai sepanjang 18.6 km ini adalah yang pertama dibina di Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Laluan basikal dua hala yang pertama dibina di Terengganu, dari Kuala Ibai Daerah Kuala Terengganu ke Teluk Ketapang yang dihasilkan dengan kos RM4.2 juta kini dibuka kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sepanjang laluan berkenaan terdapat empat lokasi yang mempunyai mercu tanda, selain 11 tempat berhenti rehat.

“Harapan kita adalah dengan adanya laluan berbasikal ini akan aktifkan lagi aktiviti berbasikal dalam kalangan keluarga,” katanya yang menambah laluan basikal turut bersifat pelancongan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian  ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Cadangan Penyediaan Laluan Basikal Dari Kuala Ibai Daerah Kuala Terengganu ke Teluk Ketapang di Dataran Batu Buruk 2, di sini, hari ini.

Menurut Wan Sukairi, laluan basikal sepangang 18. 6 kilometer (km) tersebut adalah khusus untuk pengguna-pengguna yang baru berjinak-jinak dengan basikal.

“Laluan basikal  ini khusus buat orang ramai yang nak berbasikal secara santai sambil menikmati keindahan alam, terutama pantai yang ada di sepanjang 9.3km laluan tersebut.

Wan Sukairi (berdiri tengah, kiri) dalam Majlis Penyerahan Projek Cadangan Penyediaan Laluan Basikal Dari Kuala Ibai Daerah Kuala Terengganu ke Teluk Ketapang di Dataran Batu Buruk 2, Kuala Terengganu, Terengganu pada hari ini, 27 Feb 2024.

“Kita juga berharap beberapa industri hiliran akan menjadi sokongan kepada projek ini pada laluan berkenaan termasuk penglibatan daripada pihak hotel-hotel yang berdekatan seperti Primula, Permai dan beberapa hotel yang lain.

“Diharapkan mereka boleh mempromosi pakej-pakej pelancongan khas untuk tetamu yang menginap di hotel mereka dengan memasukkan slot berbasikal secara santai sebagai salah satu aktiviti sepanjang mereka menetap di hotel mereka.

“Insya-Allah, mudah-mudahan dengan adanya laluan basikal ini ia akan lebih mengaktifkan lagi aktiviti berbasikal dan pelancongan negeri Terengganu,” ujarnya.

Rosli (tengah) dan Wan Sukairi meninjau laluan Basikal Laluan Basikal Dari Kuala Ibai Daerah Kuala Terengganu ke Teluk Ketapang yang kini mula dibuka kepada umum.

Sementara itu, Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif berkata, pihaknya memandang serius mengenai penyalahgunaan laluan basikal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kita akan memasang papan tanda amaran termasuk meletakkan batu penghadang bagi menghalang kenderaan bermotor menggunakannya selain mengenakan tindakan undang-undang setelah diwartakan.

“Orang ramai juga diminta bersikap sewajarnya sebelum melakukan perkara yang boleh merosakkan laluan basikal tersebut,” katanya. -HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -