Pelaburan tinggi, realitinya tidak kelihatan

Razali Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung negara mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah, namun nilai ringgit dan eksport setiap negeri merosot.

Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, meskipun fakta dinyatakan benar, tetapi secara realitinya ia tidak kelihatan.

- Advertisement -

Menurutnya, rakyat mengalami sendiri kesan kenaikan harga barang, masalah gaji dan bonus serta peluang pekerjaan ‘suam-suam kuku’ sehinggakan ada yang terpaksa mengikat perut.

“Tidak adil jika hendak membandingkan jumlah pelaburan diluluskan 23 peratus lebih tinggi pada 2022 kerana negara ketika itu masih bergelut dengan fasa pemulihan ekonomi pasca Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, pada hari ini.

Tambah beliau, rakyat mahukan maklumat mengenai berapa peratusan pelaburan yang kononnya diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, yang sebenar-benarnya telah direalisasikan.

“Malah, ada juga syarikat yang tidak mempunyai rekod baik dalam pelaburan, maka rakyat berhak tahu syarikat mana yang peroleh dalam pelaburan tertinggi ini,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 26 Januari lalu menyebut bahawa eksport negara menurun 10 peratus kepada RM118.5 bilion hampir setiap negeri pada Disember 2023.

“Cuma nilai eksport meningkat di Kedah (RM850.4 juta), Terengganu (RM673.6 juta), Kuala Lumpur (RM539.8 juta) dan Pahang (RM58 juta).

Justeru, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu lagi, ekonomi rakyat perlu diselesaikan secara bijaksana dan bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan dengan angka memukau.

“Rakyat tidak bodoh dan mahu kerajaan sekrang ini menjadi Kerajaan Madani (dalam erti kata) yang sebenar.

“Nilai ringgit sekarang, adakah angka memukau? Sepatutnya Anwar yang jelaskan, tetapi dihalakannya kepada orang lain, mengelat. Di mana badan penasihat khas kepada Menteri Kewangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/24

- Advertisement -