Amaran ribut petir pedalaman, barat Semenanjung 

Ribut petir dijangka berlaku di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung Malaysia serta bahagian tengah dan selatan Sarawak pada hari ini, 23 Feb 2024. (FOTO: MET Malaysia)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan bahawa amaran ribut petir berpotensi berlaku di beberapa tempat kawasan pedalaman dan barat Semenanjung.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah, berkata amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. 

- Advertisement -

Menurut beliau lagi, amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Perak (Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).

“Seterusnya, di Selangor (Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang). Seterusnya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Selain itu, di Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson) serta Sarawak di Sri Aman dan Kapit (Belaga) sehingga jam 6 petang ini,” katanya menerusi kenyataan, di sini pada hari ini. 

Sehubungan itu, MET Malaysia turut menjangkakan cuaca kering dan panas di beberapa tempat dengan suhu melebihi 35 darjah Celcius terutamanya di utara Semenanjung dan Sabah. 

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” ujarnya.

Sementara itu, dalam hantaran kenyataan berasingan, pihaknya mengeluarkan notis bahawa capaian perkhidmatan laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca, RakanMET dan Web Service API akan mengalami gangguan. 

Mengulas lanjut, perkhidmatannya bakal mengalami gangguan seketika untuk urusan pendawaian elektik d Pusat Data pada jam 9 pagi hingga 11 pagi, esok.

“Dalam tempoh ini, sebarang maklumat terkini tidak dapat diakses. Sebarang kesulitan yang dialami dalam tempoh ini amatlah dikesali. 

“Untuk pertanyaan, sila hubungi Bahagian Komunikasi Metereologi (BKM) di talian 03-7968 8338,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/24

- Advertisement -