Masyarakat minoriti Cina di Tawang dilayan sama rata

Harun menyampaikan ang pau kepada masyarakat Cina di Tawang, Bachok, Kelantan pada hari ini, 23 Feb 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Rizal Tahir)
- Advertisement -

BACHOK: Masyarakat Cina yang merupakan golongan minoriti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang, namun mereka mesti dilayan sama rata sepertimana kaum lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Harun Ismail berkata, masyarakat Cina berkenaan mesti dilayan sama rata dan mendapat pembelaan yang adil seperti kaum lain sebagaimana yang dikehendaki Islam.

- Advertisement -

“Kerana masyarakat minoriti inilah kita menang di Kelantan, kita menang di DUN Tawang, (daripada apa) yang telah mereka berikan sokongan pada kerajaan kita lebih 33 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Sambutan Tahun Baru Cina DUN Tawang di pekarangan Kompleks Masjid Daruttarbiyah, Wakaf Zin, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Penghulu Kawasan Bachok, Tan Peri Tan Sulong.

Sehubungan itu, seramai 100 orang masyarakat Cina termasuk kanak-kanak diraikan turut  diberikan ang pau serta buah limau dalam majlis yang julung-julung kali diadakan sejak beliau menjadi ADUN Tawang pada Ogos tahun lepas.

Pada masa yang sama, ujar Harun, atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawabnya sebagai ADUN, beliau berbesar hati untuk menyantuni masyarakat Cina di Tawang.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana hari ini buat pertama kali saya dapat meraikan mereka pada satu majlis dan beramah mesra dengan mereka.

“Sebelum ini, saya pernah juga melawat masyarakat Cina yang sakit dan memerlukan pertolongan, hasil maklumat Penghulu Tanpa Mukim DUN Tawang, Tan Bon Chia atau lebih dikenali di kampung, Che Awang,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/24

- Advertisement -