Laluan alternatif dibina atasi kesesakan trafik di Pekan Jelawat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kesesakan trafik yang berlaku di Pekan Jelawat pada hari cuti dan waktu puncak dapat diselesaikan selepas kerajaan mengumumkan pembinaan laluan alternatif bagi mengatasi masalah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Zameri Mat Nawang berkata, sehingga kini laluan di Pekan Jelawat merupakan satu-satu jalan utama yang menjadi penghubung utama dua negeri, Kelantan dan Terengganu.

- Advertisement -

Menurutnya, kerancakan pembangunan yang berlaku turut menyumbang kepada masalah itu termasuk pembinaan Hospital Bachok dan Bandar Baharu Jelawat yang memerlukan perhatian khusus kerajaan.

“Ini juga merupakan satu lagi projek yang kita pohon setiap tahun kepada kerajaan persekutuan, sejak 15 tahun dahulu lagi, wakil rakyat dahulu pun sudah menyuarakan perkara sama, sekarang baru boleh buat.

“Namun, pada penggal ini saya memasukkan perkara ini, selesaikan kesesakan lalulintas dalam manifesto pada Pilihan Raya Negeri lalu, bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Assabiqat Negeri bersama Hal Ehwal Wanita (Halwa) Dun Jelawat yang diadakan di Darul Niswah Jelawat, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 18 assabiqat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat menerima penghargaan atas jasa serta bakti yang dilakukan mereka sehingga PAS Kelantan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada tahun 1990.

Terdahulu, sidang DUN sebelum ini mengumumkan akan membina jalan pintas bagi mengatasi masalah itu yang sering berlaku di hadapan Pasar Besar Siti Aishah Jelawat sehingga Sekolah Menengah Kebangsaan Jelawat.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin memaklumkan pihaknya menyatakan hasrat kepada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Perancangan tersebut selaras dengan pembangunan Bandar Baharu Jelawat berdasarkan hasrat dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12), Rolling Plan Keempat yang merancakkan lagi pertumbuhan sosio ekonomi penduduk. – HARAKAHDAILY  21/2/2024

- Advertisement -