Pemerkasaan syariah: Kerajaan digesa pinda RUU355

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:Kerajaan perlu meminda RUU355 dalam usaha pemerkasaan syariah dalam sistem undang-undang negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ), Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz berkata, semua umat Islam perlu bersatu hati menyokong dan mendukung usaha merealisasikan usaha ini bagi memartabatkan syiar Islam di Malaysia.

- Advertisement -

“DPPNJ menyokong penuh terhadap inisiatif dijalankan bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam usaha pemerkasaan syariah dalam sistem undang-undang negara.

“DPPNJ turut menyokong usaha dan peranan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk mengkaji dan mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Persekutuan bagi mengatasi permasalahan yang timbul,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Ahmad Nawfal, beliau berpandangan bahawa pihak yang terlibat termasuklah peguam-peguam Syar’ie dan pengamal undang-undang serta pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat memberikan penerangan yang tuntas berkaitan polemik yang berlaku ini.

Beliau juga berharap dan mengalu-alukan hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kerajaan akan membawa Rang Undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) di Parlimen tahun ini.

“DPPNJ ingin mengingatkan kembali bahawa usaha menyempurnakan Draf RUU355 telah bermula seawal Ogos 2021 serta telah mendapat kelulusan Bahagian Gubalan Jabatan Peguam Negara pada Oktober 2022.

“Kini, tiba masanya untuk kerajaan memperjuangkan untuk mengangkat Akta 355 ini,” katanya. – HARAKAHDAILY  21/2/2024

- Advertisement -