Keputusan mahkamah: PAS nyata pendirian rasmi malam ini

Ahmad Fadhli bakal bersama-sama Tuan Guru Abdul Hadi di Rusila, Terengganu pada malam ini, 10 Feb 2024 di Rusila, Terengganu sempena Amanat Khas Presiden PAS susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diputuskan sebagai batal dan tidak sah.
- Advertisement -

BATU PAHAT: PAS akan menyatakan pendirian rasmi terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendirian itu akan dilakukan sendiri oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu program yang akan berlangsung di Rusila, Terengganu pada malam ini.

- Advertisement -

“Saya nak menyatakan dalam isu ini insya-Allah, PAS akan mengemukakan suatu sikap rasmi pada malam esok (Sabtu). 

“Malam esok (Sabtu) saya diminta untuk ke Rusila, (untuk) bersama-sama dengan Yang Berhormat Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian ketika berucap dalam program Himpunan dan Ceramah Solidariti Palestin PAS Negeri Johor yang berlangsung di Dewan Haji Abas, KomPAS, di sini, malam tadi.

Kerajaan persekutuan harus ditekan

Tambah Ustaz Fadhli, kerajaan persekutuan harus ditekan supaya membuat pindaan perlembagaan yang memberikan kuasa yang lebih kepada mahkamah syariah di peringkat negeri.

“Sebab itu, kita melihat ini sebagai satu ancaman kepada kompetensi mahkamah syariah atau DUN yang berada di negeri masing-masing.

“Ia akan menjadi kesan domino. Satu di Kelantan sudah jatuh, peruntukan yang sama akan dicabar di negeri-negeri lain dan tuan-tuan tunggu dan lihat sahaja ia berlaku,” tegasnya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail; Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, Pengerusi Perikatan Nasional Johor, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal dan tetamu khas wakil rakyat Palestin, Mohamad Wail El Zard.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 semalam ( 9 Feb) telah memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan yang mendukacitakan umat Islam di negara ini tersebut telah diumumkan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam tempatan bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Petisyen telah difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman di Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan, serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.  HARAKAHDAILY  10/2/2024

- Advertisement -