Pusat tentera Israel diserang roket Katyusha, Hizbullah

Hizbullah telah melancarkan serangan dengan berpuluh-puluh roket Katyusha pada lewat 8 Feb 2024 menyasarkan ibu pejabat Briged Infantri Kedua Zionis Israel yang terletak di pangkalan ‘Ein Zeitim’ Israel. (FOTO: MNA)
- Advertisement -

BEIRUT: Pasukan Penentangan Islam di Lubnan, Hizbullah telah mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa ia berjaya menyasarkan serangan baharu ke atas pusat tentera Zionis yang terletak di utara Palestin yang diduduki.

Hizbullah mengumumkan melancarkan serangan pada lewat Khamis, menyasarkan ibu pejabat Briged Infantri Kedua yang terletak di pangkalan ‘Ein Zeitim’ Israel, dengan berpuluh-puluh roket Katyusha, lapor Al Jazeera.

Selain itu, Al Mayadeen pula melaporkan bahawa dalam kenyataannya, Hizbullah menegaskan bahawa ia menyerang Meron, yang terletak di utara Palestin yang diduduki, sebagai sokongan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

- Advertisement -

Tindakan itu juga sebagai tindak balas kepada serangan rejim Israel ke atas kampung dan orang awam Lubnan, yang terbaharu adalah pencerobohan ke atas bandar Nabatieh di selatan Lubnan.

Sumber berita melaporkan pada malam Khamis bahawa Hizbullah melepaskan 30 peluru berpandu dan roket ke arah utara wilayah Palestin yang diduduki. 

Laporan itu juga menyatakan bahawa Hizbullah telah melancarkan 600 peluru berpandu dan roket ke Palestin bagi menyerang tentera Zionis sejak ia melakukan permulaan pembunuhan beramai-ramai penduduk awam di Gaza, yang bermula pada 7 Oktober 2023 dan sehingga kini telah mengorbankan 27,947 nyawa.  HARAKAHDAILY  9/2/2024

- Advertisement -