Polis suspek rogol disambung tahanan reman sehari

Dua anggota polis mengiringi polis suspek kes rogol seorang wanita berusia 23 tahun di Tumpat, Kelantan,
- Advertisement -

TUMPAT: Tempoh tahanan reman seorang Inspektor polis yang disyaki merogol wanita berusia 23 tahun ketika dipanggil sebagai saksi di pejabat daerah (IPD) di sini pada 28 Januari lalu, disambung sehari.

Permohonan reman terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dibuat selepas tempoh reman selama tujuh hari bermula Selasa lalu berakhir hari ini.

- Advertisement -

Lanjutan reman sehingga esok itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi di Mahkamah Majistret Tumpat di sini hari ini.

Ketika  prosiding reman berlangsung, Mohd Firdaus Zainal Abidin peguam yang mewakili pegawai polis berkenaan,  memohon lanjutan reman yang paling minimum diberikan kepada anak guamnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan lanjutan reman selama sehari sehingga esok bagi membolehkan pegawai polis terbabit disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Terdahulu, pegawai penyiasat itu tiba di Mahkamah Majistret di sini dengan menaiki kereta peronda polis (MPV) jam 8.15 pagi tadi sebelum keluar jam 10 pagi.

Media sebelum ini melaporkan, Inspektor polis yang direman tujuh hari berhubung kes rogol seorang wanita, didakwa ketika sedang menyiasat kes berkaitan pemerasan bahan lucah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun dilaporkan berkata, pegawai berkenaan memanggil wanita itu yang berusia 23 tahun untuk tujuan siasatan, sebelum mangsa mendakwa dirogol.

“Berdasarkan laporan, mangsa yang bekerja sebagai peniaga kosmetik dalam talian mendakwa dipanggil pegawai berkenaan sebagai saksi bagi kes pemerasan bahan lucah membabitkan rakannya,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -