Himpunan Selamatkan Syariah: UMMAH serah surat pemakluman

Mohd Zai (baju putih) dalam sidang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pada hari ini, 5 Feb 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) telah menyerahkan surat pemakluman untuk mengadakan solidariti umat Islam menerusi Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman pada Jumaat, 9 Feb ini.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, solidariti himpunan ini adalah berkait dengan isu Nik Elin menyaman Enakmen Jenayah Syariah Kerajaan Negeri Kelantan, yang mana keputusan akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.

“Maka, bagi UMMAH dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam kita akan berhimpun pada pagi tersebut untuk mendengar apakah keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah berkaitan dengan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan. 

- Advertisement -

“Kita semua tahu bahawa jenayah syariah ataupun negeri Kelantan ini juga akan terkait rapat dengan enakmen jenayah syariah di negeri-negeri yang lain termasuk di Selangor, Wilayah Persekutuan dan termasuk di Perak, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan lain-lain.

“Oleh sebab itu, ini merupakan kes yang sangat penting, dan yang akan menentukan kedudukan jenayah syariah negeri Kelantan dan juga negeri-negeri yang lain,”  katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini hari ini.

Mohd Zai berkata, ketika di IPD berkenaan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pegawai Cawangan Khas dan unit jenayah serta trafik, yang kesemuanya sangat memberikan kerjasama untuk himpunan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin-pemimpin dan umat Islam seluruh negara hadir bagi mendengar keputusan mahkamah tersebut pada Jumaat ini, dan juga untuk merasakan bagaimana keputusan tersebut akan memberikan sama ada kebaikan ataupun sebaliknya kepada umat Islam di dalam negara kita ini.

UMMAH menyerahkan surat pemakluman kepada pihak berkuasa demi kelancaran Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman pada Jumaat, 9 Feb ini.

Mohd Zai juga dalam pada itu memberitahu, akan menghantar satu surat pemakluman kepada Perbadanan Putrajaya untuk mendapatkan kerjasama, selain petang ini beliau juga bermungkinan akan  ke Balai Polis Bukit Aman bagi memberikan sedikit maklumat pencerahan di sana berkaitan perhimpunan itu nanti.

“Walau apapun kita telah memberikan komitmen kepada pihak polis dan juga pihak keselamatan kita akan melaksanakan program ini dengan sebaik-baiknya,” katanya yang menjangka ramai umat Islam akan membanjiri perhimpunan tersebut.

“Perhimpunan ini membawa isu yang sangat penting kepada umat Islam dan juga merupakan agenda pokok (utama) buat umat Islam di negara ini kerana ia adalah mengenai undang-undang ataupun peraturan kepada cara hidup umat Islam,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -