Dato’ Seri Sanusi menang kes lawan fitnah Mahfuz Omar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Alor Setar telah membenarkan tuntutan saman fitnah oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Naib Presiden PAN, Dato’ Mahfuz Omar.

Kes tersebut berkaitan dengan dakwaan Mahfuz melalui status dimuatnaik di Facebook beliau iaitu ‘Komen Politik Semasa’ yang mengandungi fitnah terhadap Sanusi pada 17 Oktober 2020 dahulu.

Beliau mendakwa kononnya Sanusi telah membeli sebuah kereta mewah Toyota Vellfire untuk kegunaan peribadi dengan menyalahgunakan dana anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah iaitu Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Mahfuz antara lainnya mengungkapkan dalam status tersebut kata-kata sinikal terhadap Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, “Vellfire untuk MB Kedah, telur belah 8 untuk rakyat”.

- Advertisement -

Hakim, Dr Arik Sanusi Yeop Johari dalam keputusan telah memerintahkan Mahfuz membuat permohonan maaf yang perlu diterbitkan dalam satu akhbar Bahasa Melayu dan satu akhbar Bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari.

Permohonan maaf perlu dimuat naik di Facebook milik Mahfuz di mana terma permohonan maaf hendaklah diluluskan oleh Sanusi, selain Perintah Injuksi juga turut kekal, termasuk Akujanji untuk tidak mengulang siar fitnah tersebut.

Pihak Mahfuz juga telah diperintahkan oleh Hakim dengan keputusan membayar Gantirugi Am berjumlah RM200,000 dan gantirugi tauladan sebanyak RM50,000 serta kos sebanyak RM30,000.

Mahkamah menegaskan bahawa semua kenyataan Mahfuz kononnya Sanusi membeli Vellfire untuk kegunaan peribadi adalah bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap pemimpin kerajaan negeri itu.

Sanusi diwakili oleh sepasukan peguam terdiri daripada Yusfarizal Yussoff, ⁠Mohd Faizi Che Abu, Adam Luqman Hamdan, ⁠Ahmad Munzir dan Wan Rohimi Wan Daud di mana mereka turut menganggotai Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -