Sultan Ibrahim lafaz sumpah jawatan Agong hari ini

Foto daripada Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menuju Istana Negara diiringi laungan Daulat Tuanku daripada rakyat jelata.

- Advertisement -

Sultan dan Raja-Raja Melayu tiba di Istana Negara pagi ini bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini.

Mesyuarat itu dijadual berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 11 pagi dengan dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada mesyuarat kali ini, Sultan Ibrahim akan melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan melafaz sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong buat kali ketiga.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.

Turut hadir Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Sebelumnya, Seri Paduka Baginda yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor dengan menaiki pesawat khas, selamat tiba di Pangkalan Udara Diraja Malaysia, Subang sekitar pukul 9.45 pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Kerabat Diraja Negeri Selangor dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Sultan Ibrahim kemudian melalui kawalan kehormatan setempat disusuli bacaan doa sebelum berangkat ke Istana Negara. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -