JOHOR BAHRU: Sekiranya kerajaan bertegas mahu memansuhkan pencen penjawat awam, ia seharusnya tidak melibatkan kakitangan peringkat bawahan yang bergaji kecil.
Menurut Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz, kerajaan harus menilai dengan teliti sebelum membuat keputusan itu dengan pertimbangan yang wajar.
“Pada dasarnya kita menentang polisi untuk menghapuskan skim pencen ini. Tetapi kerajaan mendakwa mereka menanggung kos yang tinggi untuk membayar pencen.
“Mungkin tindakan ini terpaksa dilakukan kerajaan untuk mengatasi masalah kewangan dan baik untuk kerajaan. Tetapi jangan libatkan golongan pekerja bawahan,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Tambah beliau, majoriti penjawat awam adalah Melayu dan sekiranya tidak lagi menikmati pencen ia akan memberi kesan terhadap sosioekonomi mereka lebih-lebih lagi yang berjawatan kecil.
Menurut Ustaz Nawfal, golongan atasan seperti gred 54 ke atas sehingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) telah menikmati gaji yang tinggi dan mereka boleh mencarum pada KWSP sekiranya tidak diberi pencen.
Namun beliau berharap agar kerajaan dapat meneliti sewajarnya keputusan itu kerana ia bakal memberi impak yang besar kepada majoriti orang Melayu yang akan terkesan. – HARAKAHDAILY 31/1/2024