Penyelarasan tarif air tidak beban pengguna

- Advertisement -

TANAH MERAH: Kerajaan Kelantan menyifatkan pelarasan tarif air tidak membebankan rakyat sebaliknya diharap dapat meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna dengan lebih baik.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassurudin Daud berkata, pihaknya menyambut baik mengenai pelarasan tarif air bagi membantu kerja-kerja menaiktaraf dan penyelenggaraan ke arah meningkatkan perkhidmatan air.

“Kita melihat kepada kesesuaian dan selaras di seluruh negara. Kajian juga menunjukkan dengan penyelarasan tarif ia tidak membebankan pengguna kerana kenaikan pada kadar tidak ketara.

“Malah, setakat ini juga sudah jarang kita mendengar rungutan mengenai masalah air di negeri ini, jadi insyaAllah dengan langkah yang dibuat itu diharapkan dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada Johan Tilawah Al Quran Antarabangsa 2023 bertempat di Wadi Iman Ekslusif, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyambut baik langkah pelarasan tarif air domestik dengan kenaikan purata 22 sen setiap meter padu yang secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Pemangku Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail berkata, pelarasan tarif berkenaan dapat menambahkan pendapatan untuk digunakan bagi operasi dan kerja-kerja pembangunan infrastruktur, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata ia bakal memberi kesan langsung terhadap kualiti perkhidmatan kepada pengguna termasuk menangani gangguan bekalan air.

Kerajaan Pusat kelmarin mengumum pelarasan tarif air yang akan berkuat kuasa 1 Feb ini bagi membantu kerja-kerja pembangunan, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan infrastruktur bekalan air dengan lebih lancar. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

- Advertisement -