Kelantan anugerah banglo RM420,000 johan tilawah antarabangsa 2023

- Advertisement -

TANAH MERAH: Kerajaan negeri menyerahkan sebuah rumah banglo bernilai lebih RM420,000 kepada Muhammad Qayyim Nizar Sarimi di Wadi Iman Eksklusif dekat sini, hari ini.

- Advertisement -

Hadiah berkenaan diberikan sebagai mengharagai Muhammad Qayyim yang mendapat Johan Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) kali ke-63 tahun lepas.

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassurudin Daud berkata, pemberian hadiah tersebut sebagai menghargai jasa Muhammad Qayyim Nizar kerana mengharumkan nama negeri dan Malaysia di persada dunia.

“Alhamdulillah, hari ini kita menyerahkan sebuah rumah banglo kepada Muhammad Qayyim untuk menghargai kejayaan beliau baru-baru ini.

“Kawasan ini menjadi pilihan memandangkan ia lokasi yang indah dan bebas banjir.

“Kerajaan negeri berbesar hati menyumbang sebuah rumah untuk mengiktiraf jasa dan komitmen individu yang berjaya meletak kehebatan al-Quran,” katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah tersebut. (Foto atas)

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Rashid Mohd Yusoff, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud dan anggota Exco Mejar (B) Dato Md Anizam Ab Rahman.

Mohd Nassuruddin juga berkata, pemberian itu sebagai galakan kepada orang lain untuk terus maju dalam bidang al-Quran.

“Ahli Quran adalah orang yang dekat dengan Allah dan merupakan pilihan Allah. Oleh itu, kita juga mahu jadikan rakyat Kelantan sebuah masyarakat yang membaca, memahami dan menghayati al-Quran,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

- Advertisement -