MPKB-BRI tetap larang penggunaan shisha

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak menolak masih terdapat premis di bandar ini yang menggunakan shisha secara tertutup untuk menarik pelanggan supaya mengunjungi kedai mereka.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah menegaskan kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) tetap melarang penggunaan shisha di setiap premis.

Menurutnya, penggunaan bahan itu juga dilakukan oleh individu tertentu tetapi bukan di kawasan laluan orang ramai agar kegiatan mereka tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa.

“Operasi sentiasa dilakukan bersama pasukan keselamatan dan setakat ini sebanyak 650 shisha dirampas dalam tempoh enam tahun bermula 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Program Jupo Mato Kelantanku Bersih hari ini.

Katanya lagi, semua PBT di negeri itu bertindak atas aduan serta laporan orang ramai kerana aktiviti  berkenaan masih wujud walaupun tidak banyak.

Sempena majlis berkenaan beliau memusnahkan shisha yang dirampas sejak tahun 2018 dalam operasi mereka.

Bagi meningkatkan tahap kebersihan mencapai sasaran, Hilmi yang juga Adun Guchil turut memaklumkan MPKB-BRI akan mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 kepada orang ramai yang membuang sampah di kawasan tidak sepatutnya.

Tambahnya, tindakan itu diambil di bawah Undang-Undang Kecil Kebersihan sebagainusaha mendidik masyarakat.

Tambah Hilmi, setiap PBT mempunyai kadar yang ditetapkan tetapi beliau sudah mengesyorkan supaya menaikkan kompaun sehingga RM500. – HARAKAHDAILY 17/1/2024

- Advertisement -