New York: 24 cedera kereta api bawah tanah bertembung

Suasana keadaan selepas dua kereta api bawah tanah bertembung di Upper West Side, Manhattan pada petang Khamis, 4 Jan 2024. (FOTO: NewsBreak)
- Advertisement -

NEW YORK: Sekurang-kurangnya 24 orang cedera dan ratusan telah dipindahkan selepas dua kereta api bawah tanah bertembung di Upper West Side, Manhattan pada petang Khamis, waktu tempatan, menyebabkan kedua-duanya tergelincir dari landasan.

Pegawai MTA berkata, sebuah kereta api pertama dari arah utara dengan bilangan penumpang mencecah 500 orang sedang berhenti di  stesen 96th Street, sejurus selepas jam 3 petang apabila ia bertembung dengan sebuah lagi kereta api yang dalam keadaan tidak terkawal akibat vandalisme selepas seseorang tidak dikenali di dalam kereta api tersebut disyaki telah menarik tali brek kecemasan.

- Advertisement -

Empat pekerja MTA berada di atas kereta api itu cuba menetapkan semula brek pada masa itu tetapi keadaan menjadi di luar kawalan, lapor New York Post.

“Mangsa yang cedera mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital tempatan.Nasib baik, tiada sesiapa yang cedera parah,” kata Timbalan Penolong Ketua FDNY, Ian Swords kepada pemberita di luar stesen kereta api pada lewat malam Khamis.

“Kereta api penumpang, yang tidak sepenuhnya keluar dari stesen itu telah dipindahkan melalui platform stesen,” ujarnya.

Kira-kira 300 hingga 400 penumpang tambahan turut dipindahkan dari kereta api yang tidak terlibat tetapi terperangkap di lokasi pelanggaran selepas bekalan elektrik dimatikan. 

Pesiden MTA, Rich Davey berkata, tiada apa-apa yang menunjukkan kemalangan itu berkaitan peralatan dan sedang menyiasat sebarang faktor manusia di sebalik kejadian itu.

“Peralatan berfungsi seperti yang biasa. Jelas sekali, dua kereta api tidak sepatutnya bertembung antara satu sama lain,” jelasnya.

MTA memberi amaran bahawa rangkaian perkhidmatan kereta api bawah tanah di Manhattan bakal terganggu hingga pagi hari ini, Jumaat bagi menyelaras dan memeriksa semula rel dan terowong kereta api.

“Kami akan mengambil sedikit masa untuk mendapatkan perkhidmatan ini kembali berjalan seperti biasa. Kami mempunyai kru di sana sekarang dan saya jangka kami akan berada di luar sana sepanjang malam tadi,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/1/2024

- Advertisement -