‘Untuk kamu agama kamu, untuk kami agama kami’

Nadzir dikerumuni media ketika hadir dalam sesi penyerahan memorandum di Pejabat DAP, Jalan Yew, Kuala Lumpur pada hari ini, 3 Jan 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  “Untuk kamu agama kamu, untuk kami agama kami.”

Itu penegasan yang dilontarkan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi ketika menggesa agar pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Datuk Ngeh Koo Ham susulan ratusan laporan polis telah dibuat oleh rakyat di seluruh negara  di atas keceluparan mulut Penasihat DAP Perak itu.

“Agama Islam adalah agama Persekutuan, namun agama lain tetap bebas diamalkan  penganut masing-masing sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekuatuan. Inilah keadilan Islam yang sebenar,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam sesi penyerahan memorandum di Pejabat DAP, Jalan Yew, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah wakil daripada Armada Bersatu, Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin; Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor, Ustaz Imran Selamat.

Terdahulu, Koo Ham dilaporkan mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan baru-baru ini.

Menurut Nadzir, kenyataan yang dibuat Koo Ham itu merupakan satu tindakan yang tidak wajar sama sekali dilakukan. 

“Tindakan Datuk Ngeh Koo Ham yang telah mencadangkan agar pihak kerajaan pada masa ini melantik orang bukan Islam ke dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam ditafsirkan sebagai mempersoalkan kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang menjadi penaung agama Islam di negara ini. 

Keceluparan mulut Ngeh Koo Ham dilihat sebagai cuba mencampuri urusan agama umat Islam di negara ini.

“Kami berdiri teguh di belakang titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang menitahkan agar orang bukan Islam terutamanya ahli politik untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam,” tegasnya.

Tambah beliau, meskipun permohonan maaf telah dibuat oleh Koo Ham pada 30 Disember 2023 lalu, namun ia  tidak dilihat secara ikhlas dan boleh dipersoalkan semula.

Koo Ham yang juga merangkap Ahli Parlimen Beruas itu bukan ahli DAP  pertama pernah melakukan kekhilafan, malah pemimpin-pemimpin lain parti itu juga pernah mengeluarkan kenyataan yang sengaja menyentuh hal sentiviti umat Islam di Malaysia. 

“Antara siri-siri tindakan pemimpin DAP yang sering kali menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan umat Islam adalah tindakan biadap yang dilakukan oleh Exco DAP, Teng Chang Kim pada Januari 2023 yang  mengaitkan isu arak dengan solat. 

“Pada Oktober 2023, Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming pula telah mengecam murid-murid sekolah yang telah memakai kostum ala pejuang HAMAS sempena sambutan Minggu Solidariti Palestin. Beliau turut menggugut untuk mengenakan tindakan kepada pihak yang berkaitan.

“Pada Julai 2023, Pengerusi DAP, Lim Guang Eng turut membuat ucapan fitnah yang berunsur 3R dengan mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan orang bukan Islam akan berdepan pelbagai sekatan sekiranya PAS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN),” terang Nadzir lagi. 

Nadzir di samping Chegu Bad yang turut hadir memberi sokongan pada sesi penyerahan memorandum di Pejabat DAP, Jalan Yew, Kuala Lumpur. (HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

Nadzir berkata, pihak DAP juga dikatakan cuba mencucuk jarum perkauman dengan mempolitikan isu kompaun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap pakaian peniaga di Kelantan.

“Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua turut mendakwa Tony Pua mendakwa Malaysia tidak lagi memerlukan parti Melayu,” ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, Nadzir turut memberitahu bahawa pada September 2023, Ahli Parlimen DAP, Howard Lee telah menggunakan ayat al-Quran dengan memberi tafsiran yang salah untuk menggesa umat Islam menyokong kerajaan campuran. 

“Pada November 2023, Ahli veteran DAP, Lim Kit Siang  pula telah menunjukkan sikap chauvinisnya dengan membangkitkan bahawa orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia,” kongsi beliau.

Nadzir turut menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan oleh pihak DAP ini secara jelas telah memperlecehkan kedudukan Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta realiti demografi negara yang mana majoritinya terdiri daripada umat Islam. 

“Melihat kepada respons kepimpinan DAP yang amat lemah terhadap kesalahan Datuk Ngeh Koo Ham, maka kami mempersoalkan pendirian sebenar parti DAP berkenaan isu ini.

Laporan polis terhadap kenyataan Ngeh Koo Ham dibuat di Balai Polis Masjid Tanah, Melaka 1 jan 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abu Anas)

“Tindakan Datuk Ngeh Koo Ham itu bukanlah sekadar terkhilaf sepertimana cuba digambarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. 

“Tidak mustahil tindakan Datuk Ngeh Koo Ham adalah satu manifestasi pendirian sebenar DAP terhadap isu ini memandangkan tiada tindakan tegas dikenakan ke atas beliau sementelah berkali-kali kesalahan seperti ini diulang,” tegasnya lagi. 

Sehubungan itu, ujar Nadzir, jika benar DAP sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta sistem Raja Berpelembagaan yang menjadi terasnya, beliau menuntut perkara-perkara berikut dilaksanakan oleh kepimpinan DAP. 

“Permohonan maaf secara rasmi daripada parti DAP terhadap siri-siri keceluparan barisan kepimpinan DAP terhadap isu-isu sensitif umat Islam.

“Tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap parti DAP berikutan sebagai tanda keseriusan DAP menyatakan pendirian bahawa tindakan Datuk Ngeh Koo Ham itu adalah atas kapasti peribadi beliau sahaja.

“Datuk Ngeh Koo Ham perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Beruas disebabkan kebiadaban yang nyata terhadap institusi kesultanan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam di Malaysia,” katanya.  HARAKAHDAILY  3/1/2024

- Advertisement -