Kapal perang Iran Alborz masuki Laut Merah — Tasnim

Sebuah kapal perang tentera laut Iran tiba untuk berlabuh di Pelabuhan Sudan di negara Laut Merah pada 8 Dis 2012. (FOTO FAIL; VOA News)
- Advertisement -

TEHRAN: Kapal perang Alborz Iran telah memasuki Laut Merah, agensi berita separuh rasmi Tasnim melaporkan pada lewat Isnin (1 Jan), ketika ketegangan yang memuncak di laluan perkapalan utama di tengah-tengah perang Israel-Hamas dan serangan ke atas kapal oleh pejuang HouthinYaman dikatakan bersekutu dengan Tehran.

Tasnim bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai misi Alborz tetapi berkata kapal perang Iran telah beroperasi di perairan terbuka untuk mengamankan laluan perkapalan, memerangi lanun dan menjalankan tugas lain sejak tahun 2009.

- Advertisement -

“Kapal perang Alborz memasuki Laut Merah melalui Selat Bab al-Mandab,” lapor Tasnim, tanpa menyatakan bila tarikhnya, namun terdapat laporan yang belum disahkan di media sosial bahawa ia tiba lewat pada Sabtu lalu.

Kapal Pemusnah kelas Alvand itu telah menjadi sebahagian daripada armada ke-34 tentera laut Iran, bersama kapal sokongan Bushehr, dan meronda di Teluk Aden, utara Lautan Hindi dan Selat Bab Al-Mandab setakat 2015, menurut agensi penyiaran Iran, Press TV.

Sementara, Armada Kelima Amerika Syarikat berkata, ia gagal menghubungi pihak Tentera Laut Iran atau mengulas mengenai laporan yang tidak disahkan mengenai pergerakan kapal Iran.

Houthi Yaman sebelum ini  telah menyasarkan kapal di Laut Merah sejak Nov tahu lalu untuk menunjukkan sokongan padu mereka kepada kumpulan Islam Palestin Hamas dalam perangnya dengan Israel di Semenanjung Gaza.

Sebagai tindak balas, banyak syarikat perkapalan utama telah beralih ke laluan yang lebih panjang dan lebih mahal di sekitar Tanjung Harapan Afrika daripada melalui Terusan Suez, yang mengendalikan kira-kira 12 peratus daripada perdagangan global.

Terkini, pejuang  Houthi menyerang sebuah kapal kontena Maersk dengan peluru berpandu dan bot kecil pada Sabtu dan Ahad, mendorong syarikat itu menghentikan semua pelayaran melalui Laut Merah selama 48 jam.

Terdahulu, Ketua Tentera Laut Iran, Shahram Irani, dipetik dalam media Iran pada 2 Dis lalu berkata bahawa Alborz sedang menjalankan misi di Laut Merah.

Menteri Pertahanan Iran, Mohammad Reza Ashtiani, berkata pada 14 Dis 2023 pula  merujuk kepada Laut Merah bahawa ‘tiada sesiapa yang boleh bergerak di wilayah yang kami kuasai’.

 HARAKAHDAILY  2/1/2024

- Advertisement -