Pemimpin Korea Utara arahkan AS ‘dimusnahkan sepenuhnya’…

Kim Jong Un mengadakan pertemuan dengan komander Tentera Rakyat Korea di ibu pejabat Jawatankuasa Pusat Parti itu, di Pyongyang, Korea Utara pada 1 Jan 2024. (FOTO: KCNA melalui Reuters)
- Advertisement -

SEOUL, Korea Selatan: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un mengarahkan tenteranya untuk ‘memusnahkan sepenuhnya’ Amerika Syarikat dan Korea Selatan jika diprovokasi.

Agensi berita Pusat Korea Utara, KCNA dalam laporannya pada hari ini, Isnin (1 Jan) berkata, Jong-Un  berikrar demikian untuk meningkatkan pertahanan negaranya bagi menghadapi permusuhan atau ‘gerakan konfrontasi tentera AS dan pasukan musuh lain’ yang kian ketara.

Sehubungan itu, beliau dijangka meningkatkan ujian senjata nuklearnya pada 2024 menjelang pilihan raya presiden AS November ini; dengan ramai penganalisis politik berkata, Jong-Un dipercayai berbuat demikian bagi  embolehkannya merampas konsesi AS jika bekas Presiden, Donald Trump dipilih semula menjadi Presiden.

- Advertisement -

Dalam mesyuarat parti pemerintah utama selama lima hari minggu lalu, Jong-Un  berkata beliau akan melancarkan tiga lagi satelit pengintip tentera, menghasilkan lebih banyak bahan nuklear dan membangunkan dron serangan tahun ini dalam apa yang dikatakan pemerhati sebagai percubaan untuk meningkatkan pengaruhnya dalam diplomasi masa depan dengan A.S.

Dalam pertemuan pada hari Ahad dengan pegawai tentera yang memerintah, Kim berkata adalah penting untuk mengasah ‘pedang yang berharg; bagi menjaga keselamatan negara itu – ujukan jelas kepada program senjata nuklear negaranya. 

“Kim Jong-Un menegaskan bahawa ‘tentera Korea Utara  harus melakukan pukulan maut untuk memusnahkan musuh (AS dan Korea Selatan) secara menyeluruh dengan menggerakkan semua cara dan potensi yang paling sukar tanpa teragak-agak’,  jika kedua-dua negara itu memilih konfrontasi dan provokasi tentera terhadap Korea Utara’,” tambah laporan KCNA.

Sementara dalam ucapan Tahun Barunya pada Isnin, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pula berkata beliau akan mengukuhkan pasukan tenteranya, pertahanan peluru berpandu dan keupayaan sebagai tindak balas terhadap ancaman nuklear Korea Utara, lapor pula Reuters.

“Republik Korea sedang membina keamanan tulen, berkekalan melalui kekuatan, bukan keamanan tunduk yang bergantung kepada musuh,” kata Yoon, menggunakan nama rasmi Korea Selatan sebagai Republik Korea.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan Korea Selatan memberi amaran sebagai tindak balas bahawa jika Korea Utara cuba menggunakan senjata nuklear, tentera Korea Selatan dan AS akan ‘menghukumnya’ dengan berat sekali, mengakibatkan berakhirnya pemerintahan Jong-Un.

Dalam pada itu, penganalisis berkata, pertempuran tentera berskala kecil antara Korea Utara dan Korea Selatan boleh berlaku tahun ini di sepanjang sempadan kedua-dua negara Mereka Korea Utara juga dijangka akan melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua yang mampu mencapai tanah besar AS  dan senjata baharu utama yang lain.

Sejak 2022, Korea Utara telah menjalankan lebih daripada 100 ujian peluru berpandu, mendorong AS  dan Korea Selatan untuk mengembangkan latihan ketenteraan bersama mereka. 

Korea Utara juga telah cuba mengukuhkan hubungannya dengan China dan Rusia, yang menghalang usaha AS dan rakan kongsinya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengetatkan sekatan PBB ke atas Korea Utara berhubung ujian senjata nuklearnya.

KCNA melaporkan Jong-Un dan Presiden China, Xi Jinping telah bertukar-tukar mesej Hari Tahun Baru pada hIsnin mengenai memperkukuh hubungan dua hala. 

Terdahulu, Korea Utara disyaki telah membekalkan senjata konvensional untuk perang Rusia di Ukraine sebagai balasan kepada teknologi Rusia yang canggih untuk meningkatkan program ketenteraannya.  HARAKAHDAILY  1/1/2024

- Advertisement -