Jelajah Kasih 5.0: Andalusia taja umrah petugas media

Seramai 114 golongan asnaf terpilih ditaja oleh Andalusia melalui program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0. (FOTO: HARAKAHDAILY/Srihayanis Basri)
- Advertisement -

SEPANG: Syarikat pengendali umrah, haji dan pelancongan terkenal negara, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menamatkan kalendar 2023 dan memulakan Tahun Baru 2024 dengan melaksanakan program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 yang menaja lima petugas media untuk menunaikan umrah di Makkah.

Program kerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan itu menerbangkan lima petugas media dan wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sinar Harian dan HarakahDaily.

- Advertisement -

Kesemua petugas media berkenaan diterbangkan untuk membuat liputan program umrah tersebut melalui penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Ahad (31 Dis) yang menaja seramai 114 golongan asnaf terpilih.

Selain daripada asnaf Negeri Sembilan seramai 77 orang, melalui  program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 ini Andalusia turut menaja asnaf dari negeri Sabah seramai tujuh orang.

Seterusnya, asnaf dari Kelantan seramai 15 orang, asnaf di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) seramai 10 orang, dua orang asnaf dari Melaka.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Md Daud Che Ngah berkata, pihak Andalusia berharap agar semua jemaah dapat menunaikan ibadah dengan sebaik mungkin, sambil berpesan agar mereka tidak meninggalkan solat walau apa keadaan sekali pun.

Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat akhir kepada jemaah di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada Ahad 31 Dis).

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin yang  memberikan kata-kata semangat kepada rakan-rakan media agar fokus beribadah walaupun dalam masa sama menjalankan tugas dan melakukan yang terbaik demi agama Islam.

Sehubungan itu, pegawai Andalusia turut memberikan servis dan layanan yang terbaik kepada jemaah agar mereka tidak terlepas menerima maklumat dari semasa ke semasa.

Malah, pihak Andalusia menasihatkan agar semua pengiring dapat membina hubungan yang erat dan mesra panggilan kepada asnaf iaitu bonda dan ayahanda.  HARAKAHDAILY  1/1/2024

- Advertisement -