PASRelief bina sekolah lapangan buat pelarian Syria

Sekolah lapangan buat pelarian kanak-kanak Syria di Arsal, Lubnan yang diusahakan oleh PASRelief.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PASRelief telah melancarkan perasmian sekolah lapangan buat pelarian kanak-kanak Syria di Arsal, Lubnan.

Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Pia berkata, projek pembinaan sekolah lapangan ini berjaya disiapkan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap pendidikan kanak-kanak pelarian Syria. 

- Advertisement -

“Sekolah lapangan yang berkeluasan 30 x 30 kaki ini akan dimanfaatkan secara bergilir-gilir oleh kanak-kanak Syria yang menetap di sekitar kem pelarian tersebut,” katanya. 

Menurutnya, PASRelief berharap dengan pembinaan sekolah lapangan ini dapat memberikan pendidikan yang lebih baik buat anak-anak Syria bagi mengubah nasib keluarga mereka. 

“Ramai kanak-kanak pelarian Syria yang mengalami keciciran dalam pendidikan. Pendidikan adalah sangat penting dalam membina sebuah tamadun

“Anak-anak pelarian Syria ini berhak mendapatkan pendidikan walaupun mereka menjadi pelarian di negara orang,” tambahnya.

Dengan adanya sekolah lapangan dan kemudahan pendidikan yang lebih sempurna dan sistematik ini, ujar beliau lagi, ia bukan sahaja dapat membangunkan keluarga mereka, bahkan PASRelief berharap ia juga dapat kembali berkhidmat dan membangunkan semula negara mereka yang sudah lama dalam kancah konflik sejak tahun 2011.

“PASRelief memahami, sebuah sekolah ini sahaja tidak dapat mampu menampung jumlah keseluruhan kanak-kanak pelarian Syria di sini yang mahu mendapatkan pendidikan juga. 

“Oleh yang demikian, PASRelief menyeru dan mengajak rakyat Malaysia sekali lagi untuk menyumbang bersama-sama PASRelief bagi membolehkan lebih ramai lagi kanak-kanak pelarian Syria mendapatkan pendidikan yang sama rata dan lebih baik,” katanya.

Segala sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Islamic PASRelief 5640 7061 2333. Maklumat lanjut mengenai misi dan bantuan boleh hubungi hotline PASRelief di talian +60-17 500 1144.  HARAKAHDAILY  24/12/2023

- Advertisement -