Sulaiman Abdullah kembali ke rahmatullah 

Allahyarham Sulaiman Abdullah.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas presiden Majlis Peguam, Sulaiman Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah semalam dalam usia 77 tahun akan dimandi dan dikafankan di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer sebelum solat Zuhur hari ini.

Pemergian Allahyarham sebelum ini disahkan oleh anak lelakinya, pelakon dan penulis drama, Huzir Sulaiman menerusi satu kenyataan ringkas. 

- Advertisement -

“Arwah bapa merupakan seorang pengamal undang-undang yang berfikiran tajam walaupun pada masa itu, bapanya menghadapi pelbagai cabaran kesihatan.

“Bapa masih mewakili anak guam dan menyertai pelbagai jawatankuasa dan panel penasihat,” kongsinya.

Sepanjang kerjayanya, Sulaiman pernah terlibat dalam mengendalikan kes-kes terkenal termasuk menjadi peguambela bagi perbicaraan kes liwat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peguam pendakwaan untuk kes rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta krisis perlembagaan Perak susulan penyingkiran bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Nizar Jamaluddin.

Selain itu, Allahyarham merupakan antara 12 tokoh yang dilantik dalam Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) yang diwujudkan semula bagi mempertingkat dan memartabatkan sistem perundangan Syariah selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Allahyarham juga pernah menjadi setiausaha Badan Peguam Malaysia (1993-1995), selain Presiden Majlis Peguam (2000-2001).

Pemergian Allahyarham ke rahmatullah berlaku dua tahun selepas kematian arwah isterinya, bekas Pesuruhjaya Suhakam, Allahyarhamah Mehrun Siraj yang meninggal dunia pada 29 Jun 2021.  HARAKAHDAILY 19/12/2023

- Advertisement -