Masa hadapan DAP makin cerah tetapi malap untuk negara

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

DAP semakin ‘naik tocang’ sejak kebelakangan ini dengan kenyataan dan tindakan yang terus membakar amarah rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu.

- Advertisement -

Bermula dengan kenyataan pimpinan DAP iaitu M Kulasegaran dan Lim Guan Eng tentang isu persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Kemudian, kenyataan Lim Kit Siang mengenai impiannya untuk melihat Malaysia diterajui bukan Melayu sebagai Perdana Menteri.

Terkini, pengerusi DAP Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Malah, dalam sela masa kenyataan-kenyataan ini dibuat, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pelantikan Lim Hui Ying yang merupakan anak Lim Kit Siang oleh Perdana Menteri di posisi Timbalan Menteri Kewangan. Sedangkan, beliau tidak mempunyai sebarang latar belakang politik dan mempunyai rekod kurang memuaskan ketika menjawat seketika jawatan Timbalan Menteri Pendidikan sebelum ini.

Keadaan ini memberi isyarat bahawa DAP semakin hampir dengan matlamat mereka setelah berjaya menapak secara perlahan-lahan selama ini agar tidak didengari.

Kemudian, semakin menapak laju dengan Umno bawah Zahid menjadi tongkat di peringkat permulaan, dan kini bertukar menjadi tangga sehingga derapannya semakin kedengaran.

Hakikat ini perlu disedari semua MP Umno supaya agenda DAP di Malaysia dapat dihalang. Sudah terlalu banyak tindak-tanduk pimpinan-pimpinan DAP telah mengguris hati orang Melayu. Bahkan hati orang Umno sebagai rakan parti gabungan.

Saya percaya tidak semua rakan-rakan dalam Umno bersedia menjadi alas duduk kepada DAP dan PH.

Mereka perlu tamatkan langkah DAP ini. Atau jika tidak, Umno akan terpahat dalam sejarah Melayu sebagai alas kaki DAP pada penghujung usianya.

YB USTAZ AFNAN HAMIMI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 19/12/2023

- Advertisement -