Covid-19: Rakyat dinasihat ambil langkah pencegahan

Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Rakyat negeri ini diminta mengambil langkah pencegahan ekoran kes Covid-19 yang dilihat semakin meningkat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan secara global termasuk juga di beberapa negara jiran.

“Di Malaysia, peningkatan ini seiring dengan trend yang berlaku pada setiap hujung tahun seperti dilaporkan di negara-negara lain.

“Majoriti kes Covid-19 di Malaysia mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Kementerian kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 dan variant berkaitan dan ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan,” jelasnya ketika diminta mengulas berhubung hantaran Facebook miliknya berkaitan peningkatan jangkitan Covid-19.

Wan Sukairi yang juga Adun Wakaf Mempelam meminta rakyat mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi.

Selain itu, katanya, digalakkan membuat penilaian kendiri tahap kesihatan serta dinasihatkan agar tidak hadir ke mana-mana kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai sekiranya bergejala.

Tambahnya, rakyat juga diingatkan agar sentiasa memakai pelitup muka terutamanya bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak terutama kepada kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah, dan ibu mengandung.

“Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk terutama kepada kumpulan berisiko tinggi,” ujarnya.

Kes Covid-19 di negara ini bagi tempoh 10 hingga 16 Disember 2023 merekodkan sebanyak 20,696 dengan 28 angka kematian.

Menerusi hantaran infografik dibuat di aplikasi X Covid19Place memaklumkan jumlah kes aktif sebanyak 28,375 kes. – HARAKAHDAILY 19/12/2023

- Advertisement -