Kepentingan ideologi dan politik DAP, bukan agenda nasional

Pilihan Raya PBT

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

PAS memandang serius perkembangan mutakhir dalam naratif politik tanah air, terutamanya yang melibatkan pemimpin veteran DAP kerana mendapati ia sangat tidak wajar dan berpotensi mencetuskan ketegangan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

- Advertisement -

Selain itu, hakikat bahawa ia dibangkitkan oleh pemimpin kanan sebuah parti yang merupakan komponen kerajaan juga menimbulkan kecelaruan dan syak wasangka terhadap dasar dan hala tuju kerajaan sendiri, sekali gus menghakis tahap kebolehpercayaan terhadap kepimpinannya.

Naratif terbaru yang dibawa DAP adalah gesaan Pengerusi DAP Kuala Lumpur yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai supaya kerajaan mengembalikan semula Pilihan Raya Tempatan (Pilihan Raya PBT) bermula di Kuala Lumpur ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan, Ahad lepas.

Bagi menyokong gesaan itu, beliau antara lain dilaporkan berkata, “Pilihan Raya PBT sudah lama tertangguh, prinsip ‘tiada cukai tanpa perwakilan’ perlu ditegakkan demi memastikan keberkesanan, bersih dan kerajaan berorientasikan rakyat bagi menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf dunia yang kita semua banggakan”.

Terdahulu pada 29 November di Manchester, England, Penasihat DAP Tan Sri Lim Kit Siang mencetuskan kegemparan yang serupa apabila berucap kepada pelajar Malaysia di sana tentang Perdana Menteri bukan Melayu serta impian sebuah negara hebat yang berbilang kaum, budaya dan kepercayaan, bukan negara etnik tunggal.

Berbeza dengan Lim yang menyebut bahawa ucapannya itu hanyalah pernyataan fakta, bukan realiti, Tan tidak pula meletakkan caveat kepada gesaannya itu walaupun Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor MIng ketika menjawab pertanyaan di Parlimen pada awal tahun ini telah menegaskan bahawa Pilihan Raya PBT bukanlah keutamaan kerajaan pada masa ini.

Sebagai bekas anggota kerajaan dalam pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, Tan seharusnya lebih peka dan sensitif terhadap pendirian dan dasar kerajaan semasa, bukan sebaliknya, kecualilah kenyataan itu juga merupakan suatu sandiwara DAP dan Nga turut memegang watak penting.

Jika diteliti lebih dekat, walaupun kedua-dua kenyataan Tan dan Lim dihiasi dengan kata-kata dan idea muluk tentang negara atau bandar raya hebat bertaraf dunia, multiculturism, demokrasi, kecekapan pentadbiran dan sebagainya, namun gesaan Tan ternyata bercanggah dengan penolakan Lim terhadap citra politik etnik tunggal yang menjadi teras kepada impian Perdana Menteri bukan Melayu penasihat DAP itu.

Dengan penguasaan hampir mutlak kerusi-kerusi Parlimen di Kuala Lumpur oleh DAP, maka tidakkah Pilihan Raya PBT juga akan hanya menzahirkan citra politik etnik tunggal dari segi perwakilan yang akan dipilih kelak?

PAS beranggapan kedua-dua kenyataan Tan dan Lim jelas bermotifkan pengukuhan kedudukan dan penguasaan DAP ke atas hala tuju dan perjalanan negara dengan mengabaikan sisi-sisi teras yang selama ini mengikat semua pihak pada agenda dan budaya politik yang lebih waras, sederhana dan munasabah.

Ini semakin mengesahkan kebimbangan banyak pihak, terutamanya orang Melayu terhadap niat sebenar DAP dan sama ada ia jujur dalam menjunjung kepentingan dan keutamaan nasional atau hanya mengutamakan kepentingan ideologi dan parokialismenya.

Perlu diingat bahawa keputusan kerajaan terdahulu memansuhkan pilihan raya di seluruh negara sejak lebih 50 tahun lepas yang dengan jelas termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 antara lain bertujuan untuk menghindari penguasaan kerajaan tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.

PAS percaya hikmah dan tujuan penting keputusan itu masih terpakai dan perlu pada hari ini, sekali gus menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengawal dan menghentikan naratif beracun seperti ini kerana mereka yang melupakan sejarah hanya akan mengulanginya.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 19 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 19/12/2023

- Advertisement -