Liqa’ tarbawi, ijtimak nuqaba bugar fikrah abnaul harakah

- Advertisement -

LIQA’ Tarbawi (LITAR) dan Ijtimak Nuqaba Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) yang berlangsung di PASTI As-Salam, Sungai Karang, Kuantan, Sabtu lalu sempurna dengan ‘kehadiran penuh’ bermakna tokoh-tokoh hebat membugar semangat dan fikrah abnaul harakah.

- Advertisement -

Kira-kira 125 orang peserta terdiri daripada jentera pemuda, nuqaba negeri dan kawasan memenuhi ruang legar PASTI As-Salam bagi menadah taujihat aktiviti dan hala tuju tarbiah pemuda disampaikan pimpinan pusat dan negeri.

Di samping menadah ilmu dan taujihat daripada pimpinan, program ini diadakan dengan tujuan mempertemukan pimpinan utama negeri dan kawasan serta pusat.

Ketua DPPNP, Ustaz Mohd. Zarimi Abu Zih didalam ucapan alu-aluannya berkata, kewajipan seorang pemimpin dan juga nuqaba ialah memastikan diri sendiri sentiasa bersedia untuk ditarbiah.

Selain itu, seorang pemimpin juga perlulah berilmu, faham dan menjadi agen parti di seluruh negeri untuk mencari pelapis perjuangan.

Mukadimah program dimulai dengan pembentangan slot pertama daripada Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin.

Di dalam kuliah haraki lebih sejam itu beliau menarik tumpuan hadirin dengan asas kepada perbincangan siasah adalah taqwa kepada Allah.

Melalui ayat al Quran dalam surah al Ahzab ayat 70-71, beliau menjelaskan Allah menyeru orang-orang beriman agar bertaqwa kepada-Nya serta berkata tepat dan benar dalam segala perkara.

Ujarnya lagi, Allah berjanji akan memperbaiki amalan manusia, mengampuni segala dosa dan selagi mana kita taat kepada Allah dan Rasul kita telah mendapat kemenangan yang besar.

Kehadiran Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar membugar ingatan dan pesanan sebagai ingat-ingatan buat abnaul harakah agar tidak tercicir dari landasan perjuangan setelah bergulat sekian lama menyampaikan dakwah melalui slot, ‘Golongan Tercicir Di Jalan Dakwah’.

Ujarnya, tarbiah ke arah usaha untuk membentuk keseragaman fikrah adalah method terbaik yang mampu menghasilkan  interaksi secara tepat sesama angota jamaah dalam memahami arahan secara langsung (perkataan) atau tidak secara langsung ( قدوة ) yang bertujuan membentuk setiap abnaul harakah ke arah menepati manhaj, wasilah dan matlamat perjuangan.

Keciciran menurutnya, akan berlaku apabila abnaul harakah tidak memahami matlamat perjuangan, nuqaba mesti mempunyai persediaan yang kuat untuk berfungsi sebagai pemandu jamaah.

Program tambah bertenaga dengan kehadiran ‘duo’ mantan Ketua Pemuda PAS Pahang iaitu Ustaz Aireroshairi Roslan (sesi 2021/2023) yang baru saja dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS negri mengisi slot, ‘Wehdatul Fikri, Wehdatul Amal’.

Ibarat sirih pulang ke gagang, kehadiran seorang lagi sosok mantan KP PAS Pahang sesi 2017/2019, Ustaz Hazmi Dibok, selaku Pengarah Akademi Tarbiah (AKTAR) DPPM, dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau yang masih setia serta istiqamah menabur bakti melalui usaha-usaha pentarbiahan mengisi slot pembentangan program-program AKTAR mengingatkan sekalian pemuda di semua peringkat agar wala dan patuh mengikuti jalur tarbiah yang telah disusun.

Turut membuat pembentangan adalah AJK PAS Pusat yang juga mantan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi serta Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Tuan Guru Ahmad Nafiri Mad Toazi. – HARAKAHDAILY 18/12/2023

- Advertisement -