Menteri Kesihatan baharu diminta kembalikan GEG

Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan yang baru dilantik, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diminta mengembalikan semula dasar generasi penamat rokok (GEG) yang telah digugurkan oleh mantan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, seluruh anggota masyarakat mahu melihat pelaksanaan dasar GEG yang membabitkan generasi yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 dapat direalisasikan terutamanya ibu bapa yang mahu anak mereka bebas asap rokok.

- Advertisement -

Beliau berharap Ahli Parlimen Kuala Selangor itu dapat menggunakan pengalaman yang sangat besar dalam bidang perubatan awam dapat menyuarakan masalah tersebut dalam kabinet kerajaan supaya dasar larangan merokok itu dapat dilaksanakan semula.

“Saya menaruh harapan yang baharu menteri kesihatan yang baharu ini dapat mengembalikan RUU ini ke Parlimen dengan dimasukkan semula peruntukan berkaitan GEG, saya juga harap menteri menggunakan pengalaman untuk menyuarakan dalam kerajaan.

“Semoga ada sinar di penghujung jalan dan harapan rakyat terutamanya ibu bapa dapat melihat berakhirnya generasi perokok ini,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Negara, di sini, hari ini.

GEG merupakan satu dasar yang bertujuan untuk menghapuskan tabiat merokok dan penggunaan produk merokok dikalangan generasi muda secara beransur sehingga tahun 2045 dengan meletakkan had umur bagi individu yang lahir atau selepas 1 Januari 2007.

Wan Martina berkata, beliau bersama pelbagai lapisan masyarakat termasuk netizen dan badan bukan kerajaan menyatakan kekecewaan selepas keputusan kerajaan Dato’ Seri Anwari Ibrahim mengugurkan dasar tersebut untuk menghentikan secara tuntas aktivit merokok.

Tambah beliau, malah kerajaan sendiri telah memaklumkan bahawa seramai 27,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat merokok, dan kematian tersebut dapat dikawal sekiranya pihak berkuasa melaksanakan tindakan dan penguatkuasaan lebih tegas terhadap aktiviti itu.

“Saya seperti juga ramai rakyat di luar sana, netizen badan bukan kerajaan MMA, saya juga menzahirkan rasa kecewa kerana peruntukkan berkaitan generational end game generasi penamat rokok GEG ini digugurkan. 

“Saya nak penjelasan kenapa kementerian juga menggugurkan fasa 56 laporan keberkesanan larangan penjualan dan merokok bagi GEG serta perkara lain termasuk kesan penggunaan rokok elektronik sebelum 1 Jun 2025 pada setiap lima tahun, soalan saya apakah justifikasi kepada pengguguran ini,” katanya.  HARAKAHDAILY 13/12/2023

- Advertisement -