KUALA LUMPUR: “Adakah pinjaman sebanyak RM86 bilion yang kerajaan peroleh berdasarkan pinjaman (dari) dalam negara ataupun di luar (negara)?”
Itulah soalan yang dilontarkan oleh Senator Hussin Ismail ketika mencelah Sesi Penggulungan Perbahasan yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Ekonomi dalam Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau menyatakan bahawa dalam perbahasannya sebelum ini ada menyatakan perkara sedemikian yang turut menekankan sumber perolehan dalam kerajaan selain daripada perbelanjaan semata-mata.
Menurut beliau dalam perbahasan tersebut ada menyentuh mengenai sumber pinjaman dan penggunaan aset kerajaan yang bernilai 21.9 peratus bersamaan RM86 bilion.
“Jadi. saya ingin memerlukan perincian mengenai pinjaman tersebut iaitu daripada mana pinjaman tersebut sekiranya dalam negara?”
“Dan kalau pinjaman tersebut dari luar negara maka dengan siapa kerajaan buat dan berapa jumlahnya?” soalnya.
Namun begitu, Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib dalam jawapannya menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang maklumat untuk menjawab perkara tersebut.
“Tetapi insya-Allah, saya akan memberikan jawapan tersebut secara bertulis,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!