Status PrEP untuk golongan HIV negatif di Malaysia

Husain Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan diminta menyatakan perkembangan terbaharu mengenai pemberian ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) di Malaysia bagi golongan HIV negatif tetapi berisiko mendapat jangkitan tersebut menerusi pasangan homoseksual masing-masing termasuk individu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Senator Dato’ Husain Awang berkata, kerajaan juga perlu memberi penjelasan sejauh mana keberkesanan projek tersebut dalam mencegah penularan wabak berkenaan dalam masyarakat di negara ini, susulan pemberian  PrEP yang merupakan ubatan oral digunakan bagi mencegah jangkitan virus HIV.

- Advertisement -

“Minta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini pelaksanaan projek rintis penggunaan ubatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) dan sejauh mana keberkesanan projek tersebut,” katanya pada sesi jawapan lisan di Persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisma Awang Sauni dalam jawapannya menjelaskan kerajaan melaksanakan program PrEPGov2023 sebagai kajian perintis yang melibatkan 18 klinik kesihatan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia bermula selama 12 bulan bermula Januari tahun ini, pengumpulan data kajian dijangka selesai pada 31 Disember 2023 dan data kajian akan dianalisa pada awal tahun 2024 bagi melihat kesan kesihatan secara langsung dan tidak langsung terhadap pemberian PrEP,” katanya.

Beliau menjelaskan  bahawa setiap individu yang menerima ubat tersebut perlu menghadiri kaunseling pengurangan risiko pada setiap temujanji iaitu pada bulan pertama, bulan ketiga, bulan keenam dan bulan ke 12 dan sehingga 31 Oktober lalu seramai 3,041 telah menerima PrEP.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 50 orang merupakan pasangan ‘sero discordant’ yang terdiri  daripada 30 wanita dan 20 lelaki, sementara seramai 2,947 merupakan kumpulan berisiko seperti transgender dan MSM dan bakinya 44 individu tidak menyatakan kumpulan risiko.

“Berdasarkan analisis awal, sehingga bulan keenam penggunaan ubat ini menunjukkan penurunan kadar jangkitan siplis iaitu daripada 14 peratus kepada enam peratus, peratusan klien yang tidak menggunakan kondom juga menurun daripada 14.9 peratus kepada 1.7 peratus.

“Hasil dapatan awal kajian ini menunjukkan bahawa klien yang 

mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan melalui penggunaan kondom secara konsisten dan perubahan tingkah laku yang lebih baik, walaupun sedang menggunakan PrEP,” katanya.  HARAKAHDAILY 11/12/2023

- Advertisement -