KUALA LUMPUR: Apakah rawatan yang disediakan untuk kanak-kanak yang menghadapi mangsa penderaan demi menjamin perkembangan dan emosi mereka?
Senator Datuk Teo Eng Tee menimbulkan persoalan sambil menyatakan bahawa terdapat beberapa kes yang mana berlakunya penderaan terhadap kanak-kanak sehingga menjejaskan perkembangan fizikal dan emosi mereka.
Menurutnya, perkara tersebut adalah amat penting supaya dapat melindungi kanak-kanak daripada berlakunya sebarang penderaan.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri dalam jawapannya berkata, kerajaan akan mengadakan lawatan bersama-sama dengan kaunselor terhadap kanak-kanak tersebut.
Beliau menegaskan, kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilakukan dalam menghadapi masalah tersebut.
“Kita juga menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama memberi maklumat sekiranya ada mendengar sebarang masalah tersebut berlaku termasuk dalam rumah sekalipun,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2023