KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan pelan pemerkasaan ekonomi belia pada bulan November tahun lepas (2022).
“Pelan ini merupakan inisiatif yang dibangunkan sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi belia seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara dan telah digariskan sepertimana di dalam kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Senator Husain Awang menyatakan apakah status pelaksanaan Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia bagi meningkatkan kebolehpasaran belia agar dapat keluar daripada belenggu pengangguran.
Hannah selanjutnya menyatakan bahawa KBS pada masa kini sedang membangunkan sebuah pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia berdasarkan tindakan di bawah Rancangan Ekonomi Malaysia ke-12, dalam tempoh antara 2021 hingga 2025.
“Pelan ini merupakan inisiatif yang dibangunkan sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi belia seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara dan telah digariskan sepertimana di dalam kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12,” jelasnya di Dewa Negara, di sini, hari ini.
Tambah beliau, selaras dengan itu, pelan ini memfokuskan generasi belia sebagai penerima manfaat utama ke atas inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak.
Pelan ini menyasarkan tiga perkara. Pertama, menitikberatkan penurunan kadar penggangguran belia, kedua adalah peningkatan kebolehpasaran belia dan ketiga, peningkatan pendapatan belia pada tahun 2030.
Pada masa yang sama, pelan ini memastikan pendaya-upayaan generasi belia ke arah kesejahteraan dan kemampanan ekonomi kendiri.
Justeru katanya lagi, status pelaksanaan pelan ini melibatkan 3 fasa. Fasa pertama, melibatkan analisis keperluan dan penjajaran dokumen di peringkat nasional serta antarabangsa dilaksanakan dengan kerjasama pakar ekonomi khususnya mengenalpasti isu dan cabaran ekonomi belia.
“Fasa ke-2 adalah proses pengumpulan input dan pembangunan deraf pelan yang melibatkan 4 sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruf, kumpulan pelaksana pembangunan belia telah dilaksanakan yang melibatkan kementerian, jabatan dan agensi badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan latihan swasta, sekolah dan 8 kumpulan sasaran belia.
“Proses ini dilaksanakan mengambil kira penglibatan belia dan pemegang taruf, pembangunan belia di peringkat Semenanjung, Sabah dan Sarawak secara inklusif.
“Sementara, fasa ke-3 melibatkan proses validasi serta pengesahan dokumen pelan akan dilaksanakan melalui beberapa siri bengkel bersama pakar ekonomi negara,” ujarnya.
Katanya lagi, buat masa ini, fasa pertama dan kedua telah selesai dilaksanakan. Manakala fasa ke-3 disasarkan untuk diselesaikan pada April tahun hadapan (2024).
“Pelan ini dijangka dapat dimuktamarkan pada April 2024 dan dijangka dapat diluncurkan menjelang pertengahan tahun hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2023