Wang masjid untuk perkara berfaedah, aktiviti keagamaan

Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penggunaan wang, kuasa belanja dan penyata kewangan masjid berlandaskan Perkara 15, Peraturan-Peraturan Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Jawatankuasa Masjid) 2004.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, peraturan, garis panduan dan bengkel telah dikuatkuasa dan dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu bagi mengurus dan mengawal selia sumbangan dan perbelanjaan wang tabung masjid.

“Antaranya ialah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1442/2001, Peraturan-Peraturan Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Jawatankuasa Masjid) 2004.

“Garis Panduan Penggunaan Wang Khairat Masjid Negeri Terengganu, kursus atau bengkel Pengurusan Kewangan Masjid kepada ahli jawatankuasa masjid,” katanya.

Menurut beliau, wang masjid boleh digunakan untuk perkara berfaedah bagi menjalankan aktiviti keagamaan termasuk pembelian peralatan dan penyelenggaraan masjid.

Jelas Muhammad Khalil, bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak lebih daripada RM300 pada suatu masa.

“Wang yang lebih daripada jumlah itu hendaklah dimasukkan ke dalam bank yang dipersetujui oleh jawatankuasa dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd. Yusop Majid, pada persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mohd Yusop bertanya mengenai kaedah serta aturan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri terhadap wang sumbangan bagi tabung masjid daripada orang ramai dan sejauh manakah ia berkesan.

Menurut Khalil yang juga Adun Batu Buruk, kuasa kelulusan perbelanjaan kumpulan wang masjid yang kurang daripada RM200 pada suatu masa boleh diluluskan oleh pengerusi.

“Perbelanjaan yang melebihi RM200 hingga RM10,000 pada suatu masa hendaklah mendapat mandat atau kelulusan jawatankuasa.

“Perbelanjaan yang melebihi RM10,000 pada suatu masa hendaklah mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya,” katanya.

Beliau berkata, penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan berserta penyata kewangan bagi setahun hendaklah disediakan dalam tempoh dua bulan.

Katanya, penyata kewangan itu disediakan oleh bendahari dan diperiksa oleh pemeriksa kira-kira setelah tamat tahun kewangan.

“Penyata kewangan ini hendaklah dimaklumkan kepada anak kariah,” katanya.

Kata beliau, tahun kewangan masjid bermula 1 Januari dan berakhir 31 Disember setiap tahun. – HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -