Tenaga lebih mesra alam: Apa persediaan kerajaan?

Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Apakah persediaan yang dilakukan kerajaan dalam menghadapi perubahan teknologi dari penggunaan petrol kepada tenaga yang lebih mesra alam?

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, perancangan itu membabitkan persediaan tenaga mahir seperti juruteknik elektrik serta insentif kepada belia untuk hadapi anjakan tersebut.

- Advertisement -

Beliau berkata, selain dasar kebanyakan negara maju lain, perkembangan revolusi industri turut mementingkan penggunaan tenaga baharu lebih mesra alam iaitu elektrik berbanding petrol.

“Minta Menteri Sumber Manusia menyatakan persediaan negara khususnya daripada sudut tenaga mahir seperti juruteknik elektrik dan insentif kepada generasi muda anak tempatan.

“Ia adalah bagi menghadapi peningkatan perubahan gaya hidup dan teknologi baharu seperti motokar menggunakan petrol kepada elektrik sepenuhnya yang lebih mesra alam sekitar,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Yang Dipertua Dewan memaklumkan persoalan tersebut tidak dijawab kerana ketiadaan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dalam Dewan Rakyat, di sini,  hari ini.

Dato’ Ramli Mohd Noor kemudian memberi kebenaran kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin untuk membacakan teks jawaban soalan tersebut.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran memainkan peranan utama dalam pembangunan tenaga mahir negara dalam bidang yang dikenalpasti.

“Ia termasuk bidang teknologi elektrik, teknologi hybrid, Electric Vehicle (EV) dan teknologi dron, selain mendapat kerjasama Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).

“Usaha ini digunakan bagi tujuan latihan kemahiran TVET demi memastikan pekerja mempunyai kemahiran selari dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi digital,” katanya.  HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -