Angka korban Gaza cecah 14,800; 7,000 hilang 

Seorang mangsa Palestin diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan yang musnah selepas serangan udara tentera Israel di Rafah, Semenanjung Gaza pada 23 Nov 2023. (FOTO: Anadolu Agency)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Angka kematian rakyat  Palestin akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 14,854; manakala 7,000 yang lain masih tidak dapat dikesan, termasuk 4,700 kanak-kanak.

Pejabat media kerajaan di kawasan Gaza yang disekat Israel, berkata mangsa yang terkorban  termasuklah 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita, manakala lebih 36,000 orang telah  mengalami kecederaan

- Advertisement -

Serangan bom Zionis Israel terhadap Gaza juga menyebabkan 88 masjid musnah, 174 yang lain rosak sebahagiannya, manakala tiga gereja turut menjadi sasaran, lapor Anadolu Agency.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober; dan mendakwa  angka kematian rasmi rakyatnya  berjumlah 1,200 orang.

Sementara Al Jazeera melaporkan bahawa perpuluh-puluh rakyat Palestin telah terbunuh dan ratusan cedera ketika tentera Israel meningkatkan serangan di Gaza sebelum gencatan senjata yang dikatakan berkuat kuasa pada pagi hari ini Jumaat (24 Nov).

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan pada Khamis (23 Nov) bahawa 27 kematian akibat serangan Israel dilaporkan di  Sekolah Abu Hussein yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA),  serta di sekolah di kem pelarian Jabalia di utara Gaza menempatkan ramai penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Tentera Israel juga pada Khamis melancarkan serangan baharu ke atas Hospital Indonesia, menyasarkan pintu masuk utama dan penjana kuasa.

Jurucakap kementerian Gaza, Ashraf al-Qudra berkata, hospital itu telah mengalami ‘pengeboman sengit’, dan bahawa sebahagian besar bangunan itu telah menjadi sasaran bom Zionis.

“Lebih 200 pesakit, kakitangan perubatan dan orang yang kehilangan tempat tinggal kini berada di hospital di Beit Lahiya, yang telah dikepung selama seminggu.

“Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza sehingga Khamis (23 Nov) telah meningkat kepada 14,854,” katanya.  HARAKAHDAILY 24/11/2023

- Advertisement -